Sunday, April 02, 2017

Konsert Ditaja Syarikat Judi. Shila Amzah Kalah Saman, Bayar RM20,000


HALAMAN HIBURAN


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Jumaat menolak saman penyanyi Shila Amzah terhadap seorang wartawan hiburan dan dua pihak lain berhubung penerbitan artikel berunsur fitnah yang disiarkan dalam akhbar Kosmo! pada 17 September 2014.

Hakim Datuk Rosnaini Saub membuat keputusan itu selepas menerima pembelaan defendan bahawa artikel yang diterbitkan itu mengandungi ulasan saksama dan tidak berniat jahat.

Dalam penghakiman Rosnaini yang dibacakan Timbalan Pendaftar Erry Shariman Noor Arifin, mahkamah itu juga mendapati bahawa artikel yang diterbitkan Kosmo! adalah dibuat di bawah perlindungan bersyarat.

Dalam penghakiman setebal 33 muka surat mahkamah itu juga memutuskan bahawa Shila atau sebenarnya Nurshahila Amir Amzah sebagai selebriti perlu terbuka dalam menerima kritikan.

Mahkamah juga memerintahkan Shila membayar kos sebanyak RM20,000 kepada ketiga-tiga defendan iaitu wartawan hiburan akhbar Kosmo! Maliah Surip,36, pengarang akhbar itu dan penerbit akhbar berkenaan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad.

Shila yang diwakili peguam Mahendra Kumar dan syarikatnya, Shila Amzah Entertainment Berhad selaku plaintif memfailkan saman pada 16 Januari 2015.

Dalam pernyataan tuntutan, dia mendakwa Maliah telah menulis beberapa artikel yang diterbitkan dalam akhbar Kosmo! antara lain mengaitkan konsert 'Shila Amzah-Love Live in Malaysia' di Mega Star Arena di sini pada 13 September 2014 ditaja oleh syarikat judi terbesar di negara ini dan beliau juga dikatakan memperlekehkan media Melayu.

Dakwanya, artikel itu ditulis berikutan terdapat satu status yang dimuat naik dalam laman web Instagram menggunakan nama akaun 'Shilaamzah_photography' pada 15 September 2014, yang secara amnya memuji pihak media khususnya media berbahasa Cina kerana membuat liputan meluas berkenaan konsert itu.

Penyanyi itu mendakwa dia tidak mengetahui pemilik akaun Instagram itu dan pemilik akaun Instagram berkenaan tiada kaitan syarikatnya, Shila Amzah Entertainment.

Dia berkata konsert itu dianjurkan bersama pihak Mega Ultimate Sdn Bhd dan tidak pernah wujud apa-apa tajaan wang daripada "syarikat perjudian nombor satu Malaysia" seperti yang dinyatakan dalam aktikel berkenaan.

Plaintif mendakwa artikel itu yang ditulis wartawan berkenaan membawa maksud bahawa dia seorang yang tidak bermoral kerana sanggup mengetepikan kepercayaan agama serta budaya untuk mendapat tajaan wang yang tidak halal untuk menjayakan konsertnya, bersifat rasis dan tidak sensitif kepada bangsa sendiri iaitu bangsa Melayu.

Kedua-dua plaintif juga memohon ganti rugi am, tambahan, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. -Bernama

PERHATIAN:

Info, Rakyat Indonesia Bisa Kerja Di Korea Selatan, Gaji Hampir 1 Juta Rp Sehari.

klik di sini....

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails