Tuesday, April 04, 2017

10 Terbunuh 50 Cedera, Letupan Di Rusia. Pemisah Atau Daesh?














 AP - Beberapa mangsa kelihatan terbaring dalam kejadian letupan di stesen tren bawah tanah di St. Petersburg, Rusia semalam.



ST. PETERSBURG, Rusia – Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh, manakala 50 lagi cedera selepas satu letupan berlaku kira-kira pukul 2.40 petang (waktu tempatan) di dalam sebuah gerabak tren bawah tanah di sini semalam, menurut pihak berkuasa.
Agensi berita Interfax yang memetik sumber yang enggan dikenali berkata, letupan yang dipercayai daripada bom yang diisi serpihan tajam itu berlaku ketika tren berkenaan berada di antara dua buah stesen.
Presiden Rusia, Vladimir Putin yang berada di bandar ber­kenaan untuk mesyuarat dengan pemimpin Belarus berkata, beliau menimbangkan semua kemungkinan yang menyebabkan letupan itu termasuk sera­ngan pengganas.
Ambulans dan jentera bomba kelihatan tiba di stesen metro Sennaya Ploshchad berhampiran bekas pusat empayar Rusia. Sebuah helikopter pula berlegar-legar di ruang udara ketika orang ramai berkumpul di situ.
“Saya minta rakyat St. Petersburg dan semua tetamu di bandar kami supaya berada dalam keadaan berjaga-jaga, beri perhatian penuh dan berhati-hati serta bersifat bertanggungjawab ketika insiden ini,” kata Gabenor St. Petersburg, Georgy Poltavchenko dalam ucapannya.
Rakaman video menunjukkan mereka yang cedera terbaring di atas platform stesen tren, sebahagian daripada mereka diberi rawatan oleh pasukan perubatan dan orang ramai.
Sementara itu satu lubang besar akibat letupan itu jelas kelihatan pada gerabak tren dengan serpihan logam bertaburan di sekitar platform. Stesen televisyen Rusia melaporkan ramai mengalami kecederaan akibat terkena serpihan kaca dan logam besi.
Rusia sebelum ini menjadi lokasi serangan pemberontak pemisah Chechen sejak beberapa tahun lalu. Militan Daesh juga mengancam untuk menyerang Rusia sebagai balasan kerana campur tangan tentera Rusia di Syria.
Pihak berkuasa dilaporkan turut menemui satu lagi bom di sebuah stesen tren berhampiran tetapi berjaya dimatikan oleh anggota pasukan antipengganas. – Reuters

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails