Wednesday, April 05, 2017

132,916 Mohon Rumah Selangorku Hingga Feb. -Datuk Iskandar


KERAJAAN negeri menggesa pemaju mempercepatkan pelaksanaan pembinaan Rumah Selangorku ekoran permintaan yang tinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, kerajaan negeri turut melaksanakan pemantauan secara berkala melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

Katanya, kerajaan negeri juga memberikan insentif kepada pemaju dalam menggalakkan pembinaan Rumah Selangorku.
Tambahnya, oleh kerana permintaan tinggi daripada pemohon Rumah Selangorku, maka kerajaan negeri meneruskan dasar sedia ada bagi memastikan keperluan rakyat dipenuhi, lapor SelangorKini.
“Sehingga 28 Februari lalu, seramai 132,916 pemohon memohon Rumah Selangorku dengan pecahan pemohon mengikut jenis rumah," katanya pada persidangan Sidang Dewan Negeri, semalam.
Menurutnya, seramai 87,552 memohon bagi jenis A, jenis B (8,008 ), jenis C (21,762) dan 15,594 pemohon jenis D.
Beliau berkata seramai 21,510 pemohon layak ditawarkan Rumah Selangorku bermula 1 Januari 2014 hingga 28 Februari lalu.
Katanya, daripada jumlah itu, hanya 65 peratus iaitu seramai 14,002 pemohon berjaya memenuhi permintaan atau ditawarkan unit manakala sebanyak 35 peratus iaitu 7,508 pemohon menolak tawaran unit.
“Sebab utama permohonan ini ditolak kerana kegagalan pemohn memenuhi syarat kelayakan pinjaman ditetapkan oleh institusi kewangan antaranya mempunyai komitmen tinggi, tiada wang pendahuluan, disenarai hitam oleh  bank.
“Selain itu, faktor lokasi dan rekabentuk juga mempengaruhi penolakan tawaran ini disebabkan oleh pemindahan tempat kerja pemohon, kemajuan kerja pembinaan baru bermula atau kerja awalan dan pemohon mempunyai pelbagai pilihan projek dan jenis Rumah Selangorku sedang dimajukan,” jelasnya. (Haraakahdaily)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails