Monday, April 03, 2017

Setelah Gagal Difitnah, Khalid Ibrahim Ulas Agenda Jahat Azmin...


KUALA LUMPUR – “Saya tidak pernah menyimpan harapan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan meminta maaf kepada saya,” kata bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Jelasnya, beliau tidak menjangkakan Mohamed Azmin akan sanggup berbuat demikian selepas Menteri Besar Selangor itu berserta kartel upahannya mencanangkan fitnah keatasnya selama ini.
Katanya, beliau tidak terkejut Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan gah memberitahu media tidak akan meminta maaf walaupun setelah Mahkamah Tinggi memutuskan beliau tidak bersalah diatas fitnah yang dilemparkan Mohamed Azmin.
Namun, katanya, beliau agak terkejut apabila penyandang jawatan Menteri Besar Selangor selepasnya itu tanpa perasaan malu berhujah pula tentang soal moral selepas keputusan mahkamah tidak memihak kepadanya bagi mengalihkan perhatian orang ramai daripada fitnahnya yang gagal.
“Saya berasa pelik dan hairan bagaimana beliau mahu menggunakan elemen moral setelah gagal membuktikan tuduhan beliau melalui proses mahkamah.
“Saya ingin bertanya adakah ianya bermoral bagi seorang Menteri Besar Selangor bersungguh-sungguh untuk mendapatkan kembali wang pampasan RM2.7 juta daripada bekas pegawai, namun bersungguh-sungguh pula mahu membuat bayaran RM3 bilion kepada Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn. Bhd. (Splash) meskipun taksiran asal hanya RM250 juta.
“Adalah menjadi tanggungjawab moral bagi Menteri Besar memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat Selangor dan berhenti mengisi tembolok syarikat konsesi apatah lagi jika mengamalkan sikap tidak bermoral dengan menyelam sambil meminum air dengan turut sama menikmati habuan laba,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Mahkamah beberapa hari lalu memutuskan Abdul Khalid tidak bersalah memberikan pampasan kepada lapan bekas pegawai Menteri Besar Diperbadankan (MBI) sewaktu beliau digulingkan daripada jawatan Menteri Besar Selangor oleh partinya sendiri PKR pada tahun 2014.
Mohamed Azmin membawa kes itu ke mahkamah selepas berjaya merampas jawatan Menteri Besar Selangor.
Berikut kenyataan penuh Abdul Khalid mengulas agenda jahat Mohamed Azmin keatas beliau:
Bismillahirrahmanirrahim
Saya tidak pernah menyimpan harapan untuk Dato’ Seri Mohamad Azmin Ali meminta maaf kepada saya setelah Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa tiada salahlaku dan salahguna kuasa mahupun konspirasi di lakukan dalam pemberian wang pampasan kepada tujuh pegawai apabila mahkamah menolak saman Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) untuk mendapatkan kembali wang pampasan tersebut.
Walaupun beliau serta kartel upahannya sentiasa mencanangkan perkara tersebut demi memberi imej buruk terhadap saya dan mahkamah telah memutuskan sebaliknya, sejujurnya saya tidak terkejut apabila beliau dengan gah memberitahu media bahawa beliau tidak akan meminta maaf kepada saya berdasarkan sikap yang beliau tunjukkan sejak menerajui kerajaan negeri.
Namun saya agak terkejut apabila beliau cuba menyentuh soal moral ketika menyatakan pendirian berkenaan keputusan mahkamah itu. Saya berasa pelik dan hairan bagaimana beliau mahu menggunakan elemen moral setelah gagal membuktikan tuduhan beliau melalui proses mahkamah.
Suka saya nyatakan kepada Dato’ Menteri Besar bahawa sikap moral hendaklah digunapakai secara menyeluruh di dalam pentadbiran dan pengurusan negeri. Jika beliau kononnya mengenakan nilai moral yang tinggi di dalam isu pemberian pampasan bernilai RM2.7juta, beliau juga perlu mempunyai sikap yang sama dalam hal yang lain termasuk dalam isu yang jauh lebih besar yakni pembayaran kepada SPLASH.
Saya ingin bertanya adakah ianya bermoral bagi seorang Menteri Besar (MB) itu bersungguh-sungguh untuk mendapat kembali wang pampasan RM2.7 juta kepada bekas pegawai namun bersungguh-sungguh pula untuk membuat bayaran RM3 billion kepada SPLASH meskipun taksiran asal hanya RM250juta?
Adakah ianya bermoral bagi seorang MB membelanjakan ratusan juta ringgit membayar juruperunding undang-undang dan kewangan serta jurunilai semata-mata mahu menyediakan satu laporan yang menjustifikasikan lebihan bayaran kepada SPLASH?
Adakah ianya bermoral bagi beliau selaku MB mengalihkan beban kesalahan kepada Kerajaan Persekutuan di atas kelewatan beliau menyelesaikan penstrukturan semula industri air Selangor setelah gagal mendapat dana untuk membayar lebihan RM2.7 billion kepada SPLASH?
Adakah ianya bermoral bagi seorang MB yang sengaja tidak mahu mengenakan atau menyemak semula “bulk service rate” terhadap SPLASH sedangkan perkara tersebut boleh beliau laksanakan sementara menunggu penyelesaian pengambilalihan yang mana beliau amat sedar dengan kegagalan beliau berbuat demikian SPLASH telah menikmati keuntungan melebihi RM400juta setahun sejak 2014 sehingga 2016 dan akan berterusan sehingga penyelesaian tercapai?
Dan adakah bermoral bagi seorang MB membiarkan pembayaran terlampau tinggi kepada SPLASH yang akhirnya hanya akan meningkatkan tanggungan hutang negeri sehingga RM3 billion dan kenaikan tarif air kepada rakyat Selangor?
Dalam pada saya amat pasti rakyat Selangor dapat memberi jawapan yang betul kepada persoalan di atas, saya yakin Menteri Besar Selangor tidak berani untuk berdepan dengannya.
Dalam isu moral dan pembayaran ke atas Splash hingga meningkatkan beban negeri dan rakyat, saya yakin pimpinan dari PAS dan mungkin Umno boleh membincangkan dengan mendalam dan terperinci.
Rakyat Selangor memang menyokong MB dan kepimpinan negeri jika berpandukan kepada rating yang dikeluarkan Agensi yang dibiayai kerajaan negeri, justeru adalah menjadi tanggungjawab moral bagi MB memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat Selangor dan berhenti mengisi tembolok syarikat konsesi apatah lagi jika mengamalkan sikap tidak bermoral dengan menyelam sambal meminum air dengan turut sama menikmati habuan laba.)
PKR bertindak menggulingkan Abdul Khalid daripada jawatan Menteri Besar tiga tahun lalu kerana diarahkan berbuat demikian oleh Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Anwar mahu isteri beliau, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menjadi Menteri Besar Selangor.
Wan Azizah yang berasal dari negeri lain gagal menjadi Menteri Besar Selangor kerana tidak diperkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menitahkan kerajaan Selangor terdiri daripada DAP, PKR dan PAS mengemukakan calon alternatif.
PKR dan DAP akur dengan perintah Anwar supaya hanya mencalonkan isterinya sebagai Menteri Besar kepada Sultan Selangor, tetapi PAS mengemukakan calon alternatif iaitu Mohamed Azmin dan diperkenan Sultan Selangor. 
Lapor Mynewshub.cc

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails