Saturday, April 19, 2014

Umno Sokong Hudud Positif, Dalam Hati Urusan Allah.


Tuan Guru Abdul Hadi menyampaikan anugerah kepada sorang pemimpin veteran PAS Kemaman.

KEMAMAN: PAS menerima sesiapa sahaja yang menyokong pelaksanaan hukum hudud termasuk dalam kalangan pemimpin Umno, tegas Presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

“Alhamdulillah, mereka sokong hudud, urusan hati itu urusan Allah.
“Kita terima orang yang sokong hudud, siapa sahaja termasuk bukan Islam,” ujarnya semasa berucap merasmikan Ijtimak Kepimpinan PAS Negeri Terengganu di Kemasik, hari ini.

Menurutnya, perkembangan positif itu adalah hasil dakwah yang bijak yang dijalankan secara berterusan oleh pendukung parti. Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menambah, PAS sentiasa konsisten menyampaikan dakwah walaupun terdapat dalam kalangan pemimpin Umno yang mempersenda pelaksanaan undang-undang syariah.

Menurut beliau, ada di antara pemimpin Umno yang jahil berkata ‘boleh buat sup tangan’, ‘habis batu tak boleh buat jalan raya’ jika hukum hudud dilaksanakan tetapi PAS terus berdakwah memberikan kefahaman mengenai undang-undang itu. Bagaimanapun, ujarnya apa yang dikesalkan pada waktu itu ada dalam kalangan orang PAS yang gopoh menuduh pemimpin Umno yang membuat kenyataan seperti itu sebagai kafir.

“Tanpa diduga orang yang kafirkan Umno masuk Umno,” katanya lagi.

Katanya, melalui dakwah bijak yang dilakukan oleh PAS memberikan penerangan berterusan mengenai undang-undang jenayah Islam telah difahami rakyat termasuk dalam kalangan pegawai tinggi kerajaan. Ini, jelas beliau dapat dilihat apabila pegawai-pegawai tinggi ini bersara, mereka telah memilih untuk bersama dengan PAS bahkan menjadi calon PAS pada pilihan raya umum.

“Ini tanda dakwah kita telah masuk ke jabatan kerajaan. Jadi kita bina kekuatan rakyat,” katanya lagi.
(HD)

1 comment:

Anonymous said...

Dlm hati urusan Allah swt, jika berhelah, tawakkal kpd Allah swt. Kerja manusia, melaksanakan apa yg diperintah.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails