Thursday, April 17, 2014

Karpal Singh: Mengapa Nik Aziz 'terkilan'?

 

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat 'sedikit terkilan' kerana Karpal Singh yang maut dalam nahas pagi ini, tidak sempat untuk diberikan pemahaman tentang hudud. Ini ekoran hasrat kerajaan negeri Kelantan untuk memfailkan bil persendirian di Parlimen bagi membolehkan undang-undang hudud dilaksanakan.

"Saya amat yakin, individu seperti beliau jika diberikan kefahaman yang sebenarnya tentang undang-undang ini, tidak akan mempunyai sebarang sebab untuk menolak undang-undang hudud," tulis bekas menteri besar Kelantan itu dalam Facebook.
"Di Kelantan, sewaktu kita meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) pada tahun 1993, ada yang menghantar surat kepada saya menghalang enakmen ini dikuatkuasakan dan pihak yang menghantar surat ini namanya bukan Karpal Singh.
"Saya benar-benar berharap, agar pihak yang bertanggungjawab menghantar surat ini sempat memahami keindahan undang-undang Allah SWT sebelum tibanya masa untuk pergi yang tidak akan kembali," tulis Nik Aziz.

Sambil merakamkan ucapan takziah kepada keluarga ahli Parlimen Bukit Gelugor, Nik Aziz menyifatkannya pemergian Karpal sebagai satu kehilangan kepada dunia politik tanahair. Katanya, ini kerana Karpal amat dikenali sebagai seorang yang berprinsip dan sukar digugat pendiriannya.

"Beliau juga merupakan pendokong kuat kepada Perlembagaan Malaysia dan amat tegas dengan pendirian bahawa Malaysia merupakan negara sekular. Sudah tentu prinsip ini amat berbeza dengan prinsip perjuangan PAS dan beliau ternyata menghormati perbezaan ini.

"Saya masih ingat sewaktu ke rumah beliau awal tahun lepas di mana saya diberikan sambutan yang sangat hangat dari beliau. Bahkan beliau menghantar saya pulang rapat ke pintu kenderaan sekalipun situasi beliau yang terpaksa bergerak dengan kerusi roda.
"Saya kira, di sebalik perbezaan pandangan antara kami, sambutan yang diberikan oleh beliau kepada saya sangat-sangat mencerminkan kelembutan beliau dan penerimaannya terhadap hubungan PAS dan DAP di dalam Pakatan Rakyat," tambahnya.

Menurutnya lagi, Karpal mendokong kuat Perlembagaan Malaysia dan beliau yakin pemimpin DAP itu akan terus dikenali begitu di dalam sejarah politik tanahair.

"Di negara ini, jika semua pihak menghormati prinsip yang terkandung di dalam Perlembagaan, Kelantan pastinya tidak akan ditindas dengan pelbagai jenis penindasan.
"Hak Kelantan termaktub di dalam perlembagaan, tertulis di atas perjanjian, namun ada pihak yang sewenang-wenangnya membelakangi Perlembagaan dan perjanjian bertulis," tegas Nik Aziz. (MK)


Lihat sebelum ini..

1 comment:

Anonymous said...

Allah sebaik-baik perancangan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails