Tuesday, April 15, 2014

Tukar Agama: Semak Semula 2 Memo 10 Tahun Lalu -Presiden MPMABKHST


Putrajaya perlu mengambil keputusan segera dalam pindaan undang-undang membabitkan isu pertukaran agama, kata Presiden Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme, Jagir Singh. Gambar fail The Malaysian Insider. Putrajaya perlu mengambil keputusan segera dalam pindaan undang-undang membabitkan isu pertukaran agama, kata Presiden Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme, Jagir Singh. Gambar fail The Malaysian Insider.


















Putrajaya digesa menyemak semula dua memorandum yang dihantar oleh majlis antara agama 10 tahun dahulu untuk menangani masalah semasa mengenai pertukaran agama yang menyukarkan masyarakat bukan Islam.

Presiden Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme, Jagir Singh, berkata memorandum tersebut mengandungi cadangan pindaan untuk undang-undang bagi menangani isu pertukaran agama.

Jagir secara ringkasnya berkata, rundingan antara Islam dan bukan Islam tidak akan ke mana-mana.

"Parlimen perlu meminda undang-undang untuk menangani kes pertukaran agama," katanya kepada The Malaysian Insider.
Beliau berkata, majlis itu menghantar memorandum pada 2005 dan 2007 selepas keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan Lina Joy, bekas umat Islam perlu mendapatkan kebenaran Mahkamah Syariah sebelum dia boleh diterima sebagai penganut Kristian.

Jagir berkata, majlis juga mengetengahkan kes S Shamala dan R Subashini, di mana suami mereka yang, seorang penganut Hindu yang memeluk Islam dan kemudian menukarkan agama anak-anak mereka yang bawah umur tanpa memberitahu atau meminta izin isteri mereka, dan mendapat hak penjagaan daripada Mahkamah Syariah.

Susulan daripada majlis itu memberi pandangan mereka tentang pindaan undang-undang kepada kerajaan, Putrajaya menggesa majlis dan persatuan Islam duduk berunding bagi menyelesaikan masalah yang timbul daripada pertukaran agama.

"Kedua-dua majlis diminta membantu Putrajaya untuk mencadangkan pindaan undang-undang untuk memastikan perpaduan dalam negara yang berbilang kaum tidak diancam.
"Bagaimanapun, kami tidak dapat mencari jalan tengah dalam kebuntuan ini," katanya.

Jagi berkata, majlis berpendapat sebarang masalah apabila membabitkan seorang bukan Islam, ia perlu dirujuk di mahkamah sivil.

"Bagaimanapun, persatuan Islam tidak bersetuju. Mereka berpendapat pertikaian itu sepatutnya diselesaikan di Mahkamah Syariah.
"Kami menemui kebuntukan dan rundingan tamat di situ. Sementara itu, banyak lagi kes berkaitan dengan pertukaran agama timbul,” katanya.

Jagir yang juga peguam berkata, sudah tiba masanya Putrajaya memperkenalkan pindaan kepada Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 untuk menghentikan pasangan suami isteri daripada menggunakan memeluk Islam sebagai alasan lari daripada tanggungjawab.

Katanya, bekas menteri undang-undang, Datuk Seri Nazri Aziz berkata pada April 2009, Kabinet memutuskan anak sepatutnya kekal dengan agama ibu bapa mereka semasa perkahwinan sekiranya salah seorang daripada mereka menukar agama.
Beliau juga berkata, kerajaan akan mengharamkan ibu bapa daripada menukar agama anak mereka secara senyap.
Kabinet juga memutuskan isu yang tertunggak dalam perkahwinan sepatutnya diselesaikan sebelum menukar agama untuk mengelak anak menjadi mangsa.

Tahun lalu, Nazri berkata, kerajaan bercadang untuk memasukkan dalam rang undang-undang perkara ini, tetapi ditangguhkan oleh Majlis Raja-Raja.
Jagir berkata, Mahkamah Persekutuan juga memutuskan mahkamah sivil yang perlu mengendalikan kes cerai, hak penjagaan, serta penyelenggaraan dan pembahagian harta, walaupun salah seorang daripada pihak terlibat memeluk Islam, kerana perkahwinan mereka dirasmikan di bawah LRA.
Katanya, ia jelas hanya orang Islam sahaja yang boleh hadir ke Mahkamah Syariah.

"Kabinet sudah memberi pendiriannya, dan mahkamah tertinggi sudah menyatakan kedudukan undang-undang. Oleh itu, Putrajaya sepatutnya meletakkan pindaan dalam Parlimen untuk menghentikan masalah ini," katanya.

Jagir merujuk kepada kontroversi terbaru yang melibatkan S Deepa yang diberi hak penjagaan terhadap dua anaknya oleh Mahkamah Tinggi di Seremban pada 7 April.

Mahkamah Syariah pada mulanya memberi hak penjagaan kepada bekas suaminya, Izwan Abdullah.
Pada 9 April, Izwan menculik satu daripada anak mereka, Mithran walaupun Mahkamah Tinggi memberi perintah hak penjagaan anak kepada ibu mereka.

Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kula Segaran berkata minggu lalu, Parlimen perlu membuat keputusan mengenai isu pertukaran agama ini, kerana masyarakat bukan Islam hanya mengikut undang-undang Persekutuan.

"Sudah lima tahun selepas kenyataan Nazri, dan tidak banyak yang berubah," kata Kula Segaran yang mengendalikan kes M Indira Gandhi, di mana suaminya memeluk Islam dan kemudian menukar agama tiga anak mereka dan kemudiannya mendapat hak penjagaan daripada Mahkamah Syariah.

Naib Pengerusi Nasional DAP itu berkata, Putrajaya kekurangan kesungguhan politik untuk memperkenalkan penyelesaian tetap kepada perkara ini, dan pihak yang tidak menukar agama akan terseksa akibat penukaran agama.

Ketua Gerakan Belia, Tan Keng Liang turut menyokong undang-undang perlu jelas untuk memastikan Mahkamah Syariah tidak mempunyai kuasa menukar agama mereka yang di bawah umur tanpa persetujuan kedua-dua ibu bapa.

"Mahkamah Syariah juga tidak sepatutnya mempunyai kuasa untuk memberi hak penjagaan mereka yang di bawah umur yang ditukar agamanya tanpa persetujuan kedua-dua ibu bapa," katanya.

Katanya, Gerakan menyeru Parlimen menggubal undang-undang untuk menghapuskan pertindihan kuasa Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Syariah, dan menggesa Barisan Nasional serta Pakatan Rakyat untuk bekerjasama dalam isu ini. – 15 April, 2014.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Segala masalah berkaitan agama perlu diselesaikan segera, bukan main simpan bawah tikar, jangan sampai membusuk jadi duri dalam daging.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails