Wednesday, April 16, 2014

Sumber Mana Bayar Pembantu Isteri MB?



  Menteri Besar Selangor hari ini mengaku isteri beliau selaku pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) mempunyai seorang pembantu khas yang digajikan oleh Menteri Besar Incorporated (MBI).

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata demikian sewaktu menjawab soalan Saari Sungib (PKR-Hulu Kelang, kanan) yang mahu tahu sumber peruntukan untuk membayar gaji pembantu khas itu.

"Terdapat peruntukan kepada pembantu khas isteri menteri besar sebagai sebahagian kemudahan yang diberikan kepada pengerusi ahli lembaga pengarah MBI.

"Dia boleh ada pembantu khas untuk membantu tugas isteri MB.

"Pembantu tersebut membantu tugas-tugas isteri MB dalam program kemasyarakatan dan sosial," kata Khalid di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, pagi ini.

Menurutnya, jawatan itu merupakan lantikan secara kontrak selama dua tahun dan akan disemak setiap dua tahun berikutnya.

Khalid bagaimana pun tidak mendedahkan jumlah gaji pembantu itu.

Menurutnya lagi, Pekawanis dianggotai oleh golongan wanita terdiri daripada wakil rakyat peringkat DUN, Parlimen dan Dewan Negara termasuklah speaker DUN serta isteri-isteri wakil rakyat.

Ia menjalankan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dan sosial dan senarai aktiviti yang telah dijalankan boleh didapati dari laman web kerajaan negeri, kata Khalid.

Saari kemudian memuji ketelusan Khalid dan bertanya jika pembantu itu turut menerima bonus selaku kakitangan MBI.

Menjawab soalan itu, Khalid secara berseloroh berkata pembantu khas itu tetap menerima bonus seperti kakitangan lain, walaupun isterinya tidak bercadang untuk memberi bonus kepada pembantu itu.(MK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails