Monday, April 14, 2014

Motif Dedah Urusniaga Anak Syarikat Felda-Israel Dipersoal


 

















KUALA LUMPUR: Motif pendedahan urusniaga Felda dengan Israel dan hubungan Mazlan Aliman (gambar) dengan PAS menjadi antara isu utama soal balas peguam plaintif pada sesi perbicaraan saman fitnah Felda terhadap Mazlan dan enam yang lain di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pagi tadi.

Mazlan, 48, ketika memberikan keterangan menafikan dakwaan peguam plaintif,   Datuk Mohd Hafarizam Harun bahawa segala dakwaan urusniaga Felda dengan Israel yang dibuat Mazlan hanya semata-mata untuk meraih publisiti dan sokongan politik.

Hafarizam turut bertanyakan jawatan yang disandang Mazlan dalam PAS, undi yang diperolehinya bagi jawatan ahli jawatankuasa PAS Pusat semasa muktamar pemilihan dan kawasan yang ditandingi beliau pada pilihan raya umum (PRU) 2008 dan 2013.

Menyanggah dakwaan Hafarizam, Mazlan berkata isu berkaitan Felda telah diperjuangkan beliau sejak tahun 1990 (sebelum beliau menjawat jawatan penting dalam PAS).

Terdahulu daripada itu, Hakim Lee Hen Chong mengetepikan bantahan peguam defendan yang mempersoalkan relevansi beberapa dokumen pembelaan selepas mendengar penjelasan peguam defendan, William Leong dan Nasar Khan Mirbas Khan.

Mazlan ketika menjawab soalan peguam defendan berkata, pihak pengurusan Felda enggan menerima memorandum yang ingin disampaikan Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) dalam himpunan membantah urusniaga Felda dengan Israel pada 23 November 2012.

Perhimpunan yang dihadiri lebih 2000 orang itu, ujarnya diadakan bagi memohon penjelasan Felda berhubung dakwaan urusniaga anak syarikat Kumpulan Felda, Felda Iffco Oil Products Sdn Bhd dengan Bunge Agribusiness Singapore Ptd Ltd yang mempunyai kepentingan Israel.

Selain Mazlan yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, turut dinamakan dalam writ saman Felda ialah Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman, Pengarang Harakah, Taufek Yahya, wartawan Mohd Arif Atan, syarikat pencetak Harakah, Angkatan Edaran Ent. Sdn. Bhd. dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Defendan diwakili Mohamed Hanipa Maidin, William Leong, Nasar Khan Mirbas Khan dan Azhana Mohd Khairuddin manakala kumpulan peguam plaintif diketuai Datuk Mohd Hafarizam Harun.
Perbicaraan bersambung di sebelah petang. (HD)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails