Sunday, June 05, 2011

DHPP, Apa Pandangan Hu Pang Chaw?



KL, 4 Jun: Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) mencadangkan PAS menubuhkan kumpulan "think tank" (pemikir) yang membabitkan pelbagai kaum untuk memperoleh pemikiran dan persepsi berbeza mengenai PAS.

Ketuanya, Hu Pang Chaw berkata, untuk memperkasakan parti, PAS memerlukan perkongsian dan lontaran pandangan dan cetusan idea yang berkualiti serta perancangan gerak-gempur yang menepati sasaran.

"Pembentukan “think tank” ini nanti, akan menjadikan PAS sebagai satu wadah perjuangan yang cekal, mesra dan beriltizam murni dalam mengharungi abad ke 21," kata beliau sewaktu membahaskan ucapan dasar Presiden di Muktamar PAS kali ke-57 hari ini.

Beliau mencadangkan Adun Lubuk Merbau, Perak, Mohd Zainuddin bin Mohd Yusuf menerajui think thank ini berdasarkan pengalaman dan kewibawaannya.

"Beliau bukan sahaja berpengalaman luas dalam sektor perkhidmatan awam, pernah menghadiri pelbagai kursus dalam dan luar negara, beliau banyak memberi sumbangan idea dalam banyak projek pembangunan Melaka semasa bertugas sebagai Pengarah JPJ Melaka," katanya.

Dana RM10 juta


Selain itu, beliau turut mencadangkan PAS mewujudkan dana RM10 juta bagi memastikan segala program membabitkan latihan, kursus serta kebajikan ini berjalan secara terurus dan lancar selari tema muktamar tahun ini “ Membangun Negara Berkebajikan.

"Dana ini mampu menjadi penggerak kepada kita dari segi kewangan yang mantap bagi menarik lebih ramai golongan yang dikenalpasti sebagai “the best brain” untuk berkhidmat dalam parti.

"Kita mahu memastikan hasil daripada jentikan dana ini akan menjana kekuatan untuk PAS bergerak ke depan," katanya.

Tambahnya, dana yang besar sahaja tidak akan memberikan sebarang impak besar, jika ia tidak diurus secara bijak dan teliti, oleh itu pengurusan dana ini amat perlu diketuai seorang ahli ekonomi yang berpengalaman luas dalam sektor kewangan dalam dan luar negara.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan bekas pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Dr Rusli Yakub menguruskan dana tersebut.

"Beliau pernah bertugas sebagai senior officer di Bank Negara Malaysia dan bertugas sebagai penasihat ekonomi di Negara Arab dan Bangladesh," katanya.

Beliau juga berkata, PAS kini wajar bergerak dengan lebih proaktif, progresif dan dinamik tanpa tergelincir daripada matlamat perjuangan sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan parti.

"Ini bermakna, menerusi DHPP, inti perjuangan PAS dilebarkan tumpuannya ke arah memantapkan ia sebagai parti yang mampu mendekati pelbagai lapisan masyarakat majmuk di Negara ini, sejajar semangat “Pas For All”," katanya.

DHPP tekad tarik lebih ramai bukan Melayu

Selain itu beliau menyatakan komitmen DHPP untuk bersama-sama kaum Melayu menegakkan keadilan dalam Islam.

"Kami mahu buktikan bahawa DHPP , salah satu sayap PAS adalah terdiri daripada kaum bukan Melayu dan bukan Islam sesungguhnya amat prihatin tentang masa depan kaum Melayu.

"Kita mahukan orang Melayu maju bersama PAS kerana perjuangan PAS adalah berlandaskan Islam yang sebenarnya , perjuangan bagi menegakkan keadilan sebagai addin dan Islam adalah untuk umat manusia yang terdiri daripada berbagai bangsa dan bahasa," katanya.

Tegasnya, DHPP akan terus menggembleng tenaga menarik lebih ramai bukan Melayu untuk menyokong perjuangan PAS, bukan sekadar menghantar wakil dalam aktiviti dan program yang dianjurkan oleh PAS semata-mata.

"Di sini ingin saya menyarankan agar PAS di semua peringkat tidak keberatan menjemput DHPP turut serta dalam semua mesyuarat supaya kita semua dapat berkongsi idea demi merancangkan sesuatu yang terbaik untuk semua," katanya.

Perluas peranan Harakah

Sementara itu, beliau mencadangkan peranan Harakah diperluas termasuk menerbitkan majalah dan buku-buku yang akan membuka minda rakyat dan menyampaikan ilmu dalam semua bidang.

"Ini kerana katanya Harakah memainkan peranan cukup memberansangkan dalam “melayan” karenah parti lawan serta menyebar info parti, menerusi akhbar bercetak mahu pun porta web.

"Keuntungan daripada penerbitan wajar juga diperuntukan bagi meningkatkan pengetahuan staf dan wartawan, termasuk hantar mereka ke luar negara untuk mendapat lebih banyak ilmu media , idea-idea baru serta corak penulisan yang lebih segar dan menarik perhatian.

"Saya tidak hairan kalau suatu hari nanti kita mampu wujudkan pejabat perhubungan di luar Negara, sekaligus menjadi medan interaksi yang berperanan mengeratkan hubungan antara PAS dengan kalangan rakyat Malaysia di negara terbabit," katanya. (Sumber Harakah)

Lihat sebelum ini..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails