Thursday, June 09, 2011

Nasrudin Hairan Dr M Iktiraf PAS Parti Islam


PETALING JAYA 9 Jun 11:
Dewan Pemuda PAS hairan dengan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad yang secara sinis menyebut bahawa langkah parti pembangkang itu menggugurkan hasrat menubuhkan negara Islam memberi kemenangan besar kepada Pengerusi DAP, Karpal Singh.

Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan berkata, kenyataan bekas perdana menteri itu seolah-olah mengiktiraf parti tersebut sebagai parti Islam

"Sedangkan Dr Mahathir selama ini tidak pernah iktiraf PAS parti Islam. Siapa Tun Mahathir nak tegur tentang PAS?

"Kenapa baru sekarang Tun Mahathir rasa keluh-kesah selepas kita nak tegakkan konsep negara berkebajikan?," katanya kepada mStar Online di sini, Rabu.

Nasrudin berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Dr Mahathir menerusi blognya bahawa Karpal adalah individu yang paling memperoleh kejayaan besar di sebalik tumbangnya golongan ulama dalam PAS.

Malah Dr Mahathir berkata, hasrat Karpal untuk melihat usaha PAS menegakkan negara Islam gagal akhirnya tercapai apabila Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri secara 'rasmi' menggugurkan hasrat menubuhkan negara Islam.

Bagaimanapun menyangkal dakwaan tersebut, Nasrudin berkata, PAS kini berada pada landasan betul untuk membangunkan negara berkebajikan.

"Inilah masalahnya kalau seseorang itu jahil tentang Islam, mereka akan keluarkan kenyataan-kenyataan yang mengarut.

"PAS kini berada di landasan untuk membangunkan konsep negara berkebajikan, perkara ini terkandung dalam agenda perjuangan Islam. Sebab itu saya ingin tegaskan bahawa PAS tidak pernah tinggalkan atau lupakan tentang agenda Islam," katanya. (Sumber mStar Online)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails