Monday, January 03, 2011

S'ngor Mungkin Bercelaru -B/Hakim N.H. Chan.

KL, 3 Jan 11: Kerajaan Selangor kemungkinan berhadapan dengan keadaan bercelaru yang lebih mendalam berbanding jalan buntu jika ia memutuskan untuk ke mahkamah bagi menyelesaikan pertikaian berkaitan pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri baru, kata bekas hakim Datuk N.H. Chan.

Dengan merujuk kepada Seksyen 52 perlembagaan negeri Selangor, Chan berkata, undang-undang dengan jelas menyebut Setiausaha Kerajaan Negeri dilantik oleh suruhanjaya perkhidmatan, bukannya menteri besar ataupun sultan sebagaimana diperkatakan oleh sesetengah pihak.

“Sebagaimana anda boleh lihat, Seksyen 52(1) adalah jelas, ia secara spesifik mengatakan bahawa pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri harus dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan yang sewajarnya dengan memilih kalangan anggota perkhidmatan awam.

“Dia bukan dilantik oleh sesiapa; bukan juga oleh sultan, malah bukan oleh perdana menteri, tetapi oleh sebuah Suruhanjaya Perkhidmatan di mana calon Setiausaha Kerajaan Negeri ialah anggota perkhidmatan awam,” kata beliau.

Oleh itu, kata beliau, kemungkinan perkara yang akan dicabar berkaitan dengan pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri ialah ia tidak dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkaitan.

Justeru, bekas hakim Mahkamah Rayuan itu memberitahu , Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim harus berhati-hati dalam menentukan suruhanjaya perkhidmatan yang dimaksudkan sebelum memulakan sebarang tindakan mahkamah untuk menyelesaikan pertikaian berkaitan pelantikan bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai penyandang jawatan tersebut. Khusrin masuk pejabat pagi tadi.

“Jika beliau menyaman suruhanjaya perkhidmatan yang salah, mereka akan kalah seratus peratus. Kes itu akan ditolak serta-merta,” jelas beliau ketika dihubungi di Ipoh.

Seorang lagi bekas hakim Mahkamah Persekutuan memberitahu, bahawa suruhanjaya perkhidmatan yang dimaksudkan dalam perlembagaan negeri Selangor ialah Jabatan Perkhidmatan Awam yang ketuanya ialah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan.

Chan juga menegaskan bahawa situasi di Selangor berbeza berbanding krisis perlembagaan di Perak, yang membawa kepada kejatuhan kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat awal 2009 kerana kedua-duanya undang-undang yang berbeza.

Beliau juga menasihatkan Khalid daripada mengambil sikap keras dalam menerima angkat sumpah kerahsiaan Khusrin. Kata Chan, beliau berpandangan tidak wajar Khusrin dihalang daripada mengangkat sumpah kerahsiaan di bawah Subseksyen 4.

Jika tidak katanya, tindakan seumpama itu boleh membawa kepada hujah bahawa penyandang jawatan tersebut tidak terikat kepada peruntukan yang tidak boleh mendedahkan apa-apa yang berlaku di Majlis Eksekutif Kerajaan Negeri.

Malah kata beliau, Seksyen 52(3) perlembagaan negeri juga mengatakan bahawa sebaik sahaja dilantik oleh suruhanjaya perkhidmatan yang sesuai Setiausaha Kerajaan Negeri ada hak untuk mengambil bahagian dalam prosiding Majlis Eksekutif Kerajaan Negeri dan Dewan Undangan Negeri.

Malah katanya, undang-undang negeri juga membolehkan Khusrin dilantik menganggotai mana-mana jawatankuasa ditubuhkan oleh Exco dan Dewan Undangan Negeri. Bagaimanapun katanya, kemungkinan keadaan akan wujud kerana dalam persekitaran semasa beliau akan dilayan macam “pariah.” Pelantikan kontroversi Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri dilihat menuju krisis perlembagaan jika istiadat mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor, yang dijadual akan berlangsung Khamis ini, diteruskan.

Mengulas perkara ini, bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin berkata, "Tinggal sejarah! Tidak ada apa yang boleh diubah lagi kerana dia telah dibenarkan masuk," tulis Nizar dalam twiiternya.

Nizar juga menghadapi masalah yang sama apabila Setiausaha Kerajaan Negeri Perak adalah antara pihak yang terlibat menjatuhkan kerajaan neheri Pakatan Rakyat sebelum ini. Media hari ini melaporkan, Exco kerajaan negeri Selangor akan mengadakan mesyuarat mereka hari ini bagi membincangkan tindakan kerajaan negeri ekoran tindakan Khusrin. (IH

Lihat keseluruhan.... klik gambar

E-Buku IH-21: Projek BN Rampas Selangor

E-Buku IH-21: Projek BN Rampas Selangor

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails