Tuesday, January 04, 2011

Isu UG Muncul Lagi: Hadi Usaha Lunakkan Nik Aziz?

KL, 4 Jan 10: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan setiausaha agungnya Datuk Mustafa Ali akan mengadakan pertemuan dengan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini berhubung isu perbincangan kerjasama kerajaan perpaduan atau yang lebih dikenali sebagai “UG” dengan pemimpin-pemimpin Umno akhir bulan lalu. Lapor The Malaysian Insider.

Pertemuan itu dikatakan telah diusahakan oleh bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi. Pertemuan enam mata hari ini dipanggil ekoran siri pertanyan dan kemusykilan mengenai laporan bahawa pertemuan sulit telah diadakan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 24 Disember lalu di Istana Terengganu di sini.

Difahamkan Hadi dan timbalannya Nasharudin Mat Isa juga hadir sama pada pertemuan tersebut yang memfokus perundingan menyentuh soal kerajaan perpaduan sempena majlis santapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin. Hadi dan Nasharudin dikatakan sebagai pihak utama kumpulan pro-Umno dalam parti Islam berusia enam dekad itu.

“Mereka (Nik Aziz, Hadi dan Mustafa) akan menangani kontroversi yang sudah tercetus ekoran pertemuan dan perundingan ke arah kerjasama kerajaan perpaduan sebelum Tuan Guru Nik Aziz secara rasmi memberikan penjelasan bagi pihak parti,” kata seorang pemimimpin parti itu.

Difahamkan ibu pejabat PAS akan mengeluarkan kenyataan rasmi hari ini ataupun esok. Semalam, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan mengakui pertemuan seumpama itu diadakan di ibu negara. Bagaimanapun, Nik Aziz enggan mendedahkan hasil pertemuan itu demi menjaga peraturan yang sepatutnya diikuti setiap pemimpin yang hadir.

Difahamkan, pemimpin-pemimpin PAS kini berhadapan dengan satu lagi ‘perbalahan’ ekoran khabar angin bahawa kepimpinan tertinggi parti itu mengadakan pertemuan dengan rakan mereka dari Umno di ibu negara baru-baru ini. Khabar angin ini muncul hanya tinggal enam bulan sebelum PAS dijadual mengadakan pemilihan dwitahunannya. Malah dakwaan ini mengulangi ‘krisis’ yang pernah disaksikan pada 2008 dan 2009.

Kedua-dua Najib dan Muhyiddin berulang kali pernah melahirkan hasrat dan kesediaan untuk mengadakan perbincangan dengan Nik Aziz dan pemimpin-pemimpin kanan PAS sejak dua tahun lalu. Sumber-sumber yang rapat dengan usaha terbaru itu untuk membawa ke pangkuan Barisan Nasional (BN) mendedahkan bahawa kedua-dua Hadi dan Nasharudin akan diberikan peranan penting di Putrajaya jika parti berkenaan memutuskan untuk keluar Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun Nik Aziz terus bertegas menolak kerjasama sedemikian berdasarkan pengalaman masa lalu di bawah BN. Difahamkan majoriti anggota jawatankuasa kerja pusat PAS masih kabur mengenai pertemuan sulit itu dengan ada yang menyifatkan langkah sedemikian akan membawa malapetaka kepada parti itu memandangkan ia diadakan kira-kira seminggu selepas konvensyen kedua Pakatan Rakyat yang diadakan di Kepala Batas, Pulau Pinang.

Dilaporkan, seorang pemimpin PAS menggambarkan tindakan mengadakan pertemuan pemimpin-pemimpin Umno sebagai satu pelanggaran resolusi mahu kekal dalam kerjasama Pakatan Rakyat. “Pada tiga muktamar yang lalu kami telah memutuskan bahawa parti harus kekal dalam Pakatan Rakyat dan bekerja ke arah usaha mengambil alih peranan Umno,”

“Pertemuan itu tindakan melanggar disiplin dan mengkhianati (keputusan parti),” katanya.

Dalam pada itu, bekas setiausaha agung PAS Datuk Kamaruddin Jaafar mahu kepimpinan PAS mengeluarkan penegasan mereka mengenai pertemuan 24 Disember.

“Sebagaimana dikatakan oleh Datuk Nik Aziz, mesti ada perkara yang telah dibincangkan. Ahli-ahli ingin tahu apa yang dibincangkan dalam pertemuan ini, yang bukan sahaja dihadiri oleh pemimpin-pemimpin PAS, tetapi juga Umno, lebih daripada seorang pemimpin, malah ada yang mengatakan kehadiran Yang di-Pertuan Agong.

“Maka perlu ada satu penjelasan, saya rasa bukan sahaja di pihak PAS, malah Umno juga,” kata Ahli Parlimen Tumpat ini.

Kamaruddin juga tidak menolak isu itu mendapat perhatian ahli-ahli Pakatan Rakyat memandangkan ia diadakan kira-kira seminggu selepas konvensyen kedua mereka di Pulau Pinang.

“Ketika konvensyen Pakatan Rakyat, kesemua pemimpin melahirkan pendirian mereka untuk bersatu dan memperkukuhkan Pakatan Rakyat, tetapi tiba-tiba isu ini mendapat perhatian... jika dua hari lalu cuma orang cakap-cakap sahaja, tetapi sekarang Datuk Nik Aziz sudah mengesahkannya,” kata beliau yang turut merujuk kepada penerimaan Buku Jingga yang menjanjikan Program 100 Hari, yang menurutnya adalah usaha manifesto Pakatan Rakyat menjelang pilihan raya umum ke-13.

“Tetapi sekarang ada perkembangan pertemuan ini, jadi ahli-ahli Pakatan Rakyat juga memerlukan penjelasan,” katanya.

PAS memiliki 23 kerusi Parlimen dalam perikatan Pakatan Rakyat dan dua pemimpinnya menerajui pentadbiran kerajaan negeri Kelantan dan Kedah. Kepimpinan negeri Pulau Pinang dan Selangor pula diketuai wakil DAP dan Parti Keadilan Rakyat.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Ada yang merasa bimbang, pertemuan Presiden PAS dan setiausaha agungnya dengan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini adalah usaha melunakkan pendirian Tok Guru itu berhubung pendirian tegas beliau yang menolak kerajaan perpaduan sebelum ini.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails