Thursday, January 06, 2011

MB Angkat Sumpah, Tolak Khusrin & PAS S/Hajat


SHAH ALAM, 6 Jan 10: Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim (gambar) dan barisan Exconya menghadiri majlis angkat sumpah taat setia melibatkan pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi pagi ini walaupun sebelum ini mengatakan akan memulaukannya. Bagaimanapun Khalid menegaskan beliau masih tetap menolak pelantikan Khusrin.

Awal minggu ini, Khalid berkata, kerajaan negeri akan memulau majlis itu sebagai tanda tidak mengiktiraf pelantikan Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru. Khalid tidak menyatakan pendiriannya dengan jelas semalam apabila ditanya sama ada akan hadir majlis yang diadakan di Istana Bukit Kayangan pagi ini.

Dalam mesej menerusi Twitter pagi ini pula, Khalid berkata, “hadir majlis sebagai tanda hormat kepada DYMM Sultan dan Raja, tetap tidak iktiraf Datuk Khusrin.” Selasa lalu, Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani berkata majlis angkat sumpah taat setia oleh Setiausaha Kerajaan Selangor yang baru, yang dipertikaikan kerajaan negeri akan tetap diadakan hari ini.

Ini kerana pada pengetahuan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Khusrin telah dilantik mengikut prosedur yang ditetapkan dan selaras dengan peruntukan Fasal (1) dan 2(a) Perkara 52 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959. Munir menjelaskan bahawa hari ini akan diadakan upacara pengurniaan darjah kebesaran negeri Selangor kepada Raja Muda Selangor sempena ulang tahun keputeraan ke-65 Sultan Selangor kerana ketika istiadat pengurniaan darjah kebesaran pada 11 Disember lepas, Raja Muda Selangor berada di luar negara.

“Pada majlis tersebut juga akan diadakan upacara angkat sumpat taat setia penjawat jawatan Setiausaha Kerajaan Selangor dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, pelantikan dan angkat sumpah Ahli Dewan di-Raja Selangor, pelantikan dan angkat sumpah Jaksa Pendamai Selangor, pelantikan Ahli Majlis Agama Islam Selangor dan pelantikan Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah Selangor.

“Semua upacara diadakan pada satu masa adalah untuk menjimatkan masa dan kewangan,” kata Munir.

Sementara itu, semua ahli PAS dirayu supaya mengadakan solat hajat serta doa qunut nazilah untuk mempertahankan kerajaan negeri Selangor yang sedang diserang sekarang. Exco kerajaan negeri Selangor, Dr Halimah Ali dalam mesejnya yang penuh imosi memohon bantuan semua pihak bagi menghadapi serangan ini.

"Kami perlukan bantuan anda semua. Maaf kami tak larat untuk melakukan semua perkara," tulis Dr Halimah yang juga Adun Selat Klang dalam mesejnya kepada Harakahdaily.

Halimah (gambar) juga memaklumkan, Menteri Besar dan semua Exco kerajaan negeri terpaksa menyertai majlis angkat sumpah Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru yang disekalikan dengan majlis penganugerahan darjah kebesaran di istana negeri hari ini.

"Umno mahu menggunakan tektik sembah derhaka untuk ambil alih kerajaan Selangor seperti modus operandi Perak kalau kami tidak pergi," kata Halimah yang merupakan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor. Tidak bermakna kami rela.

"Kami dah cuba mempertahankan kerajaan ini selama ini." Jelas beliau. (IH)

Lihat keseluruhan.... klik gambar

E-Buku IH-21: Projek BN Rampas Selangor

E-Buku IH-21: Projek BN Rampas Selangor

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails