Saturday, January 08, 2011

PRU 13: Jumpa MP, PM Selidek Peluang Menang.

KL 8 Jan 11: Ahli parlimen BN Sarawak mendahului senarai wakil rakyat parti yang mengadakan pertemuan empat mata dengan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Ahli parlimen berkenan dilihat mula mengisi borang, difahamkan berhubung prestasi pilihan raya umum di kawasan mereka sebelum bertemu dengan perdana menteri sejak jam 9.20 pagi ini. Ahli parlimen Santubong Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika ditemui bagaimanapun berkata beliau tidak perlu mengisi borang berkenaan.

"Saya sudahpun hafal semua angka tersebut," katanya kepada Malaysiakini.

Sementara itu, ahli parlimen Alor Gajar yang juga bekas menteri sumber manusia Datuk Seri Dr Fong Chan Onn pula berkata, pertemuan ini merupakan satu langkah yang penting. "Ini kali pertama dalam karier saya bahawa PM bertindak begini sebelum pilihan raya umum," kata ahli parlimen yang telah berkhidmat selama empat penggal itu.

Dalam pada itu pula, ahli parlimen Batang Sadong Nancy Shukri ketika ditemui berkata, perdana menteri secara tidak langsung telah bertanyakan kepadanya mengenai pilihan raya negeri Sarawak yang perlu diadakan sebelum Julai tahun ini.

"Dia bertanya kepada kami, apa pandangan kami mengenai projek berimpak tinggi yang boleh membantu kemenangan BN.

"Saya beritahu (Najib) bahawa dia perlu melihat (isu) bekalan air bersih dan memperbaiki jalan raya.

"Sejak tahun 2005, jumlah penduduk Sarawak meningkat sebanyak 25 peratus, tetapi pusat rawatan air masih pada kapasiti 2005. "Jalan raya juga berlubang di segenap tempat disebabkan oleh (kerja-kerja) pembangunan," katanya lagi.

Tambahnya, isu melibatkan ketua menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud tidak dibangkitkan. MP kunci mulut. Selain itu, kebanyakan ahli parlimen lain yang ditemui enggan mendedahkan mengenai isu yang dibincangkan di antara mereka dengan perdana menteri.

"Saya cuma kata 'hello', dan ucapkan selamat tahun baru kepada Najib. Tiada apa lagi yang saya hendak katakan, kata ahli parlimen Petra Jaya Datuk Fadillah Yusoff. Begitu juga ahli parlimen Stampin Yong Khoon Seng yang hanya berkata "ambil gambar saya saja. Tiada komen." Selain MP Sabah, turut disenaraikan ialah 22 ahli parlimen dari Sabah, Johor dan seterusnya wakil rakyat dari negeri-negeri lain. (Sumber Malaysiakini)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails