Thursday, January 06, 2011

Pertemuan 24 Dis: Wajarkah PAS Hadir Sendirian? -DAP & PKR

Lim Kit Siang

KL 6 Jan 11: Wajarkah PAS hadir sendirian pada pertemuan 24 Disember? Pertemuan pemimpin-pemimpin kanan PAS dengan presiden dan timbalan presiden Umno dilaporkan mencetuskan rasa tidak senang di kalangan rakan mereka dalam PKR dan DAP? Bahkan turut mahukan penjelasan rasmi dari PAS.

“Sebagai ahli Parlimen dan sebahagian daripada Pakatan, saya merasakan bahawa mereka harus berunding dengan pemimpin-pemimpin tertinggi PKR dan juga DAP.

“Mengapa mereka (PAS) harus pergi (hadir pertemuan itu)? Bagi PKR, secara jujur kami tiada petunjuk mengenai perkara ini, dan saya tidak fikir pemimpin-pemimpin kanan parti juga tahu mengenainya jika tidak dilaporkan oleh media,” kata Ahli Parlimen PKR dari Kapar S. Manikavasagam.

Manikavasagam berkata, PAS juga perlu “menghormati” anggota komponen Pakatan Rakyat dan tindakan pemimpin-pemimpin parti Islam itu boleh menjejaskan perikatan pembangkang itu dalam pilihan raya umum tergempar yang disebut-sebut akan diadakan tahun ini.

Manikavasagam

“Ini adalah tahun kritikal bagi Pakatan... kita tidak mahu kejadian-kejadian menikam dari belakang atau mengumpat, kita perlu bersama dalam hal ini.

“Sesetengah ahli Parlimen Pakatan macam saya adalah orang kecil, jadi kami tidak tahu apa yang perlu di peringkat atasan... tetapi pemimpin-pemimpin atasan juga tidak tahu. PAS perlu menghormati anggota-anggota lain dalam Pakatan,” kata bekas anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR ini.

Justeru kata beliau, PAS perlu mendedahkan butiran hasil perbincangan itu. “Bagi tahu kami. Apakah kami bukan anggota yang sama taraf (dalam Pakatan)? Orang ramai, penyokong kami juga ingin tahu... jika ia pertemuan antara pemimpin-pemimpin kanan BN dan Pakatan, kesemua wakil ketiga-tiga parti (dalam Pakatan) harus pergi (hadir sama),” kata Manikavasagam.

Dalam laporan terbaru semalam, dilaporkan, pemimpin-pemimpin Umno dan PAS terpaksa mengakhiri perundingan ‘perpaduan Melayu’ di Istana Terengganu pada 24 Disember lalu selepas pertemuan mereka mula menyentuh isu penggunaan kalimah “Allah” oleh bukan Islam.

Begitu juga pendirian Ketua Pemuda DAP Anthony Loke yang mahu PAS menjelaskan “perundingan perpaduan Melayu.”

“Satu kenyataan daripada PAS untuk menjelaskan isu ini adalah penting bagi mengelakkan kekeliruan,” kata wakil rakyat ini.

“Biar PAS keluarkan kenyataan rasmi untuk mengulangi kedudukan dan komitmen mereka kepada Pakatan Rakyat,” katanya lagi. Bagaimanapun Loke yakin PAS akan kekal setia dalam Pakatan Rakyat.

“Ramai pemimpin dalam PAS terkenal sebagai penyokong kuat Pakatan seperti Mat Sabu, Nik Aziz, (Datuk) Husam (Musa) and Salahuddin Ayub. Malam tadi, dalam satu ceramah, Mat Sabu secara terbuka mengulangi bahawa beliau akan memastikan PAS akan kekal bersama Pakatan Rakyat,” kata beliau yang nama sebenarnya Mohamad Sabu.

Mohamad Sabu dan Husam merupakan ahli jawatankuasa kerja PAS pusat manakala Salahuddin pula salah seorang daripada tiga naib presiden. Bagaimanpun Naib Presiden PKR Tian Chua Chang, menyifatkan pertemuan Umno dan PAS itu sebagai perkembangan biasa.

“Saya tidak melihat ia sebagai satu perkara besar,” kata beliau sambil menambah, sebagai pembangkang, jika seseorang menjemput kami, mengapa pula tidak mengadakan pertemuan dengan mereka.

“Saya merasakan bahawa persoalan yang perlu ditanya ialah mengapa Najib mahu bertemu dengan PAS?” kata Tian Chua.

Ahli Parlimen Batu ini berkata, adalah sesuatu yang normal bagi pemimpin-pemimpin Pakatan untuk mengadakan pertemuan dengan rakan-rakan sejawatan mereka dari BN secara “sulit” untuk membincangkan perkara-perkara tertentu.

“Ada juga mereka dari Pakatan Rakyat yang bertemu dengan Datuk Seri Hishammuddin Hussein diam-diam berhubung isu Suara Keadilan. Saya tidak melihat pertemuan ini satu petanda bahawa PAS akan meninggalkan Pakatan Rakyat,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Publisiti DAP kebangsaan Tony Pua yakin PAS akan kekal dalam perikatan pembangkang itu. “Ia dilaporkan sebagai perundingan perpaduan. Tidak pula dilaporkan PAS berminat dengannya,” kata Pua lagi.

Ahli Parlimen ini menambah, undangan Umno kepada PAS itu menunjukkan parti pemerintah kerajaan pusat itu dan juga teras dalam BN tidak ikhlas dalam mengamalkan konsep 1 Malaysia. “Ini dengan jelas menunjukkan bahawa Umno tidak jujur dengan slogan 1 Malaysia atau matlamat mereka hanya tentang soal perpaduan Melayu Islam dan bukannya perpaduan rakyat Malaysia,” kata Pua.

Penasihat DAP Lim Kit Siang enggan mengulas sehingga PAS mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai apa yang dibincangkan dalam pertemuan 24 Disember itu. “Sebelum saya komen, kita tunggu dulu satu laporan daripada PAS apa sebenarnya pertemuan itu terlebih dahulu,” kata Lim yang juga wakil rakyat kawasan Parlimen Ipoh Timur.

Saifuddin

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail menafikan pertemuan beliau dengan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam ada menyentuh soal perbincangan pemimpin tertinggi PAS dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya dalam pertemuan 24 Dis itu. Sebaliknya, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, pertemuan dengan Mursyidul Am PAS di Kota Baru, Kelantan itu hanya perbincangan antara seorang wakil rakyat dan Menteri Besar. (Ibnu Hasyim)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails