Sunday, January 02, 2011

MB Ada Kuasa Tolak Khusrin Masuk Pejabat -Nizar



KL 2 JAN 11: Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini masih bertegas bahawa isu pelantikan Datuk Khusrin Munawai sebagai setiausaha kerajaan (SUK) negeri itu masih diperbincangkan. "Isu lantikan setiausaha negeri masih dibincangkan oleh pimpinan. Bagaimanapun, kerajaan negeri tetap berfungsi sepenuhnya," katanya.

Menulis di laman Twitter miliknya pagi, dalam nada mengeluh dan sinis, Khalid turut membandingkan pelantikan itu dengan jawatan ketua setiausaha negara yang merupakan lantikan kerajaan pusat. "Bayangkan jika perdana menteri sendiri tidak terlibat atau dirujuk dalam lantikan ketua setiausaha negara," tulisnya ringkas, ditujukan kepada Datuk Seri Najib Razak. Lapor Malaysiakini.

Sementara itu, Datuk Seri Nizar Jamaluddin mengingatkan kerajaan negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat kemungkinan berhadapan dengan risiko kehilangan populariti di kalangan orang Melayu dan akan didakwa menderhaka raja ekoran pendirian dalam isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Nizar yang kehilangan jawatan menteri besar Perak dua tahun lalu berkata, Umno akan mendakwa Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim tidak menghormati peranan Sultan ekoran pendirian enggan menerima pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai ketua pegawai perkhidmatan awam negeri, yang dilaporkan telah mendapat perkenan istana.

“Disebabkan mereka mengawal media, mereka akan menggunakan isu ini untuk mendakwa Khalid menderhaka terhadap Sultan seperti yang berlaku ke atas saya di Perak. Bagi orang Melayu ini perkara serius,” kata Nizar kepada The Malaysian Insider.

“Sebab itu, mereka terus-menerus mengatakan Sultan sudah memberi perkenan kepada pelantikan,” katanya.

Nizar kehilangan jawatan menteri besar awal 2009 selepas Sultan Perak enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri ekoran tindakan tiga wakil rakyat Pakatan Rakyat keluar parti. Beliau kemudian didakwa menderhaka Sultan selepas meminta agar DUN dibubarkan bagi mengadakan pilihan raya negeri yang baru.

Nizar yang juga ahli jawatankuasa kerja PAS pusat berkata, di sebalik usaha sepatutnya untuk memperkukuhkan sokongn tradisi Pakatan Rakyat, kehadiran Khusrin akan menjejaskan lagi usaha-usaha pentadbiran kerajaan negeri.

“Ini akan menjadi sesuatu yang sukar bagi Khalid,” katanya. “Khusrin dilihat sebagai calon terbaik untuk mencabar Menteri Besar,” Beliau menambah, Umno-BN akan menggunakan isu itu untuk melancarkan kempen terhadap Pakatan Rakyat Selangor kononnya menentang institusi diraja negeri itu.

Mula Usaha Rampas Kuasa

Khusrin sebagai ketua Jabatan Agama Islam Negeri sebelum ini juga dilihat menentang pentadbiran kerajaan negeri dalam beberapa siri isu. Pelantikan kontroversi Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri dilihat menuju krisis perlembagaan jika istiadat mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor, yang dijadual akan berlangsung 6 Januari ini, diteruskan.

Kerajaan negeri Selangor sebelum ini menegaskan ia mempunyai kata putus dalam menentukan calon Setiausaha Kerajaan Negeri selepas Sultan Selangor memberi perkenan kepada nama yang disyorkan Putrajaya untuk melantik Khusrin. Khalid yang bercadang untuk menghadap Sultan Selangor Rabu lalu tetapi terpaksa menangguhkan hasrat beliau sebab baginda bercuti sehingga awal minggu depan.

Nizar juga berkata, pelantikan Khusrin juga sebahagian daripada usaha BN yang menguasai Putrajaya boleh memulakan usaha rampasan kuasa terhadap Selangor sebagaimana berlaku di Perak. Justeru, Nizar menasihatkan kerajaan negeri Selangor agar bersedia untuk menghadapi kemungkinan krisis berterusan di negeri itu dan memberi penjelasan pendiriannya menolak pelantikan Khusrin kepada rakyat.

“Sebagai menteri besar, beliau ada kuasa untuk menolak Khusrin daripada memasuki pejabatnya. Langkah terbaik ialah membuatkan beliau masyghul,” katanya.

“Akan ada banyak lagi kemelut (selepas ini), krisis akan berterusan tetapi sekurang-kurangnya rakyat boleh disedarkan (tentang keadaan sebenar peruntukan) dalam perlembagaan,” katanya.

Oleh itu kata beliau, pentadbiran Khalid akan memperoleh kemenangan jika menguruskan isu semasa ini dengan baik. “Pada masa lalu tidak siapa yang tahu tentang perlembagaan Perak, tetapi sekarang setiap orang mengingatinya,” kata beliau.

Malah Nizar juga menjangkakan isu tersebut tidak akan berakhir dengan memihak kepada Khalid sebagaimana berlaku di Perak apabila beliau cuba untuk menggantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Abdul Rahman Hashim. “Saya telah cuba dua kali,” kata beliau merujuk kepada usahanya merujuk Sultan Perak dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan untuk menggantikan Rahman tetapi tidak berhasil. (IH)

Lihat isu ini secara keseluruhan.. klik gambar

E-Buku IH-21: Projek BN Rampas Selangor

E-Buku IH-21: Projek BN Rampas Selangor

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails