Tuesday, January 04, 2011

BN S'ngor Tolak Pinda Perlembagaan -Noh Omar


KL, 4 Jan 11: Barisan Nasional (BN) Selangor menolak usaha kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang mahu meminda perlembagaan negeri berikutan isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri dengan mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri khas.

Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar (gambar) berkata, Undang-undang Tubuh Negeri Selangor tidak perlu dipinda kerana ia telah diamalkan sekian lama dan tidak timbul sebarang masalah kepada kerajaan terdahulu terhadap pelantikan pegawai tertinggi kerajaan negeri yang dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

“Apa yang berlaku sekarang adalah kerana kerajaan Pakatan Rakyat memainkan isu pelantikan Datuk Khusrin Munawi sebagai SUK Selangor yang baru demi survival politik mereka dan untuk memuaskan nafsu dan kehendak pentadbiran PR yang didalangi oleh DAP,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini.

Kata beliau, untuk mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri tergempar, kerajaan Pakatan Rakyat Selangor sudah lupa daratan dan gila kuasa sehingga terlupa bahawa pindaan terhadap Undang-undang tubuh tersebut perlu mendapat sokongan dua pertiga yakni 38 undi sedangkan anggota mereka miliki cuma 35 orang.

“Maka dengan itu saya berpendapat cadangan tersebut adalah lebih kepada emosi dan tak dilakukan secara bijaksana.

“Saya melihat apa jua tindakan yang akan diambil oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor bersabit dengan isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor adalah mainan politik untuk meningkatkan populariti mereka menjelang pilihan raya umum ke-13.

Malah Noh berkata, tindakan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor campur tangan pelantikan Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor adalah satu penghinaan terhadap institusi perkhidmatan awam Negara.

Malah katanya, tindakan kerajaan negeri Selangor itu jelas mencabar kewibaan Ketua Setiausaha Negara dan SPA dalam pelantikan pegawai tertinggi perkhidmatan negeri.

“Pelantikan tersebut adalah hak pusat dan KSN berhak menentukan pegawai yang sesuai untuk menduduki jawatan tersebut,” kata menteri pusat ini.

Noh juga menambah, tindakan Menteri Besar mewujudkan Jawatankuasa Pemilihan tanpa terlebih dahulu merujuk kepada Ketua Setiausaha Negara adalah tidak wajar dan kurang bijak.

“Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim menunjukkan kedegilan sehingga mengambil tindakan untuk memulau sebarang majlis dan keraian yang melibatkan SUK yang baru.

“Malah dalam sidang akhbarnya semalam Khalid juga memutuskan bahawa Datuk Khusrin selaku SUK tidak dibenarkan hadir mesyuarat Exco atau hadir pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,” kata beliau yang menyifatkan langkah itu satu penghinaan kerajaan negeri Selangor tadbiran Pakatan Rakyat terhadap seluruh jentera pentadbiran awam di negeri Selangor.

“Dalam pada itu saya berpandangan bahawa cadangan kerajaan Pakatan Rakyat untuk mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri tergempar bagi meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor untuk kembalikan kuasa pelantikan tiga pegawai eksekutif termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri kepada Menteri Besar dan Sultan Selangor adalah tidak perlu,” katanya.

Katanya, ia membuktikan bahawa Khalid mengakui pelantikan Khusrin adalah sah mengikut perlembagaan sedia ada.

“Maka dengan itu Tan Sri Khalid hendaklah akur dan menghormati perlembagaan negeri sedia ada, kalau beliau tidak dapat menerima pelantikan tersebut maka beliau tidak menghormati perlembagaan dan menderhaka kepada Sultan.

“Ini adalah kerana Sultan Selangor sudah memperkenankan pelantikan Datuk Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru,” katanya.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: DUN Selangor mempunyai 56 kerusi. Barisan Nasional menguasai 21 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (14), DAP (13) dan PAS (lapan). Jumlah bagi majoriti dua pertiga ialah 38.

Lihat keseluruhan.... klik gambar

E-Buku IH-21: Projek BN Rampas Selangor

E-Buku IH-21: Projek BN Rampas Selangor

1 comment:

Amuraria said...

SEKOR LAGI PENGKHIANAT TERHADAP RAJA & SULTAN !

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails