Thursday, July 08, 2021

Tuan Ibrahim wakili negara bincang Artikel 6 Perjanjian Paris

 

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyertai sesi konsultasi tidak rasmi menteri oleh ‘Incoming Presidency’ Persidangan Conference of Parties ke 26 (COP 26) membincangkan Artikel 6 Perjanjian Paris, secara maya, malam tadi. - Foto Kementerian Alam Sekitar dan Air

KUALA LUMPUR: Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mewakili negara dalam sesi konsultasi tidak rasmi menteri oleh 'Incoming Presidency' Persidangan Conference of Parties ke 26 (COP 26) membincangkan Artikel 6 Perjanjian Paris, malam tadi.

Sesi konsulatasi yang dijalankan secara maya bermula jam 9.30 malam hingga 11.30 malam turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Ir Zaini Ujang serta beberapa pegawai kanan lain.

Kementerian itu dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini berkata sesi konsultasi itu bertujuan membincangkan pelaksanaan mekanisme pasaran karbon di bawah Perjanjian Paris.

Katanya, pada sesi konsultasi itu, Tuan Ibrahim menyampaikan intervensi Malaysia berkenaan Artikel 6 perjanjian terbabit.

"Beliau menekankan pendirian negara mengenai kepentingan perakaunan pasaran karbon yang telus bagi menyumbang kepada integriti persekitaran dan agenda pembangunan mampan serta memastikan matlamat Perjanjian Paris terpelihara.

"Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa semua negara ahli kepada Perjanjian Paris perlu bekerjasama mencari jalan penyelesaian yang tuntas bagi isu rundingan Artikel 6 mengenai penggunaan kredit karbon yang dijana di bawah tempoh Protokol Kyoto.

"Ini bagi mencapai sasaran pengurangan pelepasan gas rumah kaca negara di dalam 'nationally determined contributions' (NDC)," kata kenyataan itu.

Kata kenyataan itu lagi, sesi konsultasi peringkat menteri mengenai Artikel 6 kepada Perjanjian Paris akan diteruskan pada 12 dan 25 Julai ini bagi membincangkan isu-isu rundingan lain berkaitan artikel terbabit.

1 comment:

Anonymous said...

Yaaa..kami puas hati!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails