Thursday, July 08, 2021

Sistem kesihatan KL, Labuan, S'gor, N.Sembilan berisiko lumpuh

 

Individu yang disahkan positif COVID-19 beratur panjang bagi menghadiri penilaian daripada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) di Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di Stadium Malawati, Seksyen 13, Shah Alam.

PUTRAJAYA: Empat negeri menunjukkan peningkatan kes harian baharu melebihi kapasiti maksimum hospital dan berkemungkinan sistem kesihatannya akan lumpuh, sekiranya tidak dikawal.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata empat negeri itu termasuk Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Labuan.

Katanya, kes harian yang dilaporkan kini tidak menunjukkan tanda-tanda pengurangan, malah kes meningkat secara purata 2.6 peratus selama tujuh hari kebelakangan ini.

"Jika situasi ini berterusan, sistem kesihatan di negeri berkenaan akan lumpuh dan seterusnya situasi yang sama bagi seluruh negara mungkin berlaku," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham memaklumkan, jumlah purata kes baharu harian selama tujuh hari iaitu antara 30 Jun hingga 6 Julai lalu adalah sebanyak 6,539 kes dan jumlah itu dilihat masih tinggi berbanding nilai ambang Pelan Pemulihan Negara (PPN) iaitu kurang daripada 4,000 kes sehari (atau 12.2 kes baharu harian bagi setiap 100,000 penduduk).

"Nilai ambang 4,000 kes baharu harian ini adalah ditetapkan berdasarkan kapasiti hospital yang menghadapi situasi luar jangka, kadar kemasukan kes ke wad dan kadar discaj kes semasa.

"Negeri yang mencatatkan bilangan kes baharu melebihi nilai 12.2 kes bagi setiap 100,000 penduduk adalah Labuan, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Putrajaya, Sarawak dan Pahang.

"Apa yang lebih membimbangkan, trend kemasukan kes COVID-19 ke Unit Rawatan Rapi (ICU) masih berada pada tahap yang tinggi. Ia tidak menunjukkan penurunan yang ketara sejak dari Minggu Epidemiologi (ME) ke-23 (6 Jun hingga 12 Jun) hingga kini.

"Jumlah penggunaan katil ICU masih di negara ini masih melebihi 90 peratus, dalam masa yang sama petugas barisan hadapan dalam sektor perubatan dan kesihatan) mengalami gelaja tekanan melampau atau 'burnout' kerana terpaksa berjuang menangani begitu banyak kes COVID-19 untuk tempoh yang kian berlarutan," katanya.

Berikutan itu, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya juga membuat penukaran beberapa hospital di Lembah Klang sebagai hospital sepenuhnya untuk merawat pesakit COVID-19.

"Turut dipertimbangkan ialah untuk menukar status Hospital Shah Alam bagi merawat kes-kes COVID-19; tambah kapasiti katil, menggalakkan penubuhan lebih banyak Pusat Kuarantin Risiko Rendah Swasta (PKRCS) kendalian fasiliti kesihatan swasta.

"Selain itu, kita menggalakkan semua negeri untuk terus menjalin dan menggandakan kerjasama antara semua pihak dalam membendung penularan wabak COVID-19 di negeri masing-masing," katanya.

Bagi negeri yang sudah beralih ke Fasa 2, mereka dinasihatkan untuk terus mengamalkan kepatuhan yang penuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yangdigariskan bagi memastikan situasi di negeri berkenan terus pulih dan beralih ke fasa seterusnya bagi mempercepatkan proses pemulihan sektor kesihatan, ekonomi dan sosial.

1 comment:

Anonymous said...

Tanya Tee Pi Em. Dia tau crite.

Tutup pintu depan buka pintu belakang.

DG bgtau cluster kilang dan tempat keja banyak. Menteri dan pengikut parti Islam extreme percaya bukan kilang punya pasal.

Kerejaan gagal.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails