Saturday, July 10, 2021

Terjun sungai: Bukan tuju kepada rakyat Kelantan

 

KERATAN pendek video yang dirakamkan pada tahun 2012 itu ialah sewaktu saya memberikan penjelasan panjang dalam kuliah di Medan Ilmu, bagi mempertahankan maruah Tok Guru Nik Aziz yang diserang mengenai masalah air di Kelantan oleh sekumpulan penunjuk perasaan di tepi Sungai Kelantan berhampiran TESCO Kota Bharu dan juga di Kota Darul Naim. Tok Guru merupakan Pengerusi AKSB ketika itu.

Setelah memberikan jawapan panjang secara terperinci, latar belakang cerita dan apa yang sebenarnya yang berlaku, sekatan dan penindasan yang dilakukan ketika itu, saya berseloroh sedikit sebagai balasan setimpal ‘tit-for-tat’ kerana kumpulan penunjuk perasaan itu tahu perkara sebenar tetapi menyembunyikan fakta. Seloroh saya itu disambut dengan baik oleh pendengar kuliah yang faham dan sangat marah dengan serangan tersebut.

Difahamkan, ketua kumpulan tunjuk perasaan itu juga telah pun diperintahkan oleh mahkamah untuk membayar ganti rugi RM50,000 kepada AKSB berhubung kenyataan fitnah itu pada 2015.

Anak muda baru berusia 9 hingga 12 tahun

Saya mulanya, tidaklah mahu menjawab tuduhan ini secara serius. Namun kasihankan anak-anak muda yang tidak tahu latar belakang cerita. Mereka yang berumur 18 hingga 21 sekarang, masih di bangku sekolah pada tahun 2012. Baru berusia 9 hingga 12 tahun.

Malah yang berusia 25 tahun sekarang pun baru berusia 14 tahun, tingkatan dua. Masalah dan serangan yang dihadapi oleh kita di Kelantan pada ketika itu mungkin tidak dapat didalami dengan baik oleh remaja di awal usia.

Ini yang menjadi kebimbangan saya. Mereka tidak tahu dan diperdayakan oleh musuh. Orang-orang tua juga, ada yang tidak mendapat gambaran sebaiknya.

Sejarah masalah air di Kelantan

Apabila kita menang sahaja pada tahun 1990, peruntukkan dan projek bagi menangani masalah air lebih kurang RM600 juta pada ketika itu, dibatalkan. Kontraktor, jurutera, mesin dan peralatan bagi projek yang dicadangkan, ditarik balik semula. Mungkin ada di antara kita, tidak pernah mendengar Projek Bekalan Air Kelantan Utara (BAKU) ataupun nama Thames Water PLC.

Bermula dari situlah, Kelantan mula ketinggalan dalam pembangunan air selama 10 tahun. Pulau Pinang mendapat peruntukkan RM2 bilion untuk pembinaan Empangan Mengkuang. Negeri lain ada juga mendapat peruntukkan berbilion ringgit. Tiada negeri di Malaysia yang mampu berdikari dan menyelesaikan masalah air ini. Semuanya memerlukan bantuan Persekutuan.

Setelah 25 tahun menderita

Pelbagai usaha telah dilakukan sebagaimana yang saya terangkan dalam video ini. Bukan kita duduk bersahaja. Siri-siri pertemuan antara Tok Guru dan Perdana Menteri – Perdana Menteri sebelum ini bagi membincangkan masalah air ini telah diusahakan. Kelantan juga membuat pinjaman dan mengusahakan pelbagai peruntukkan melalui agensi.

Hanya pada 2016, Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air di Kelantan dimuktamadkan. Juga lebih dikenali dengan Migrasi Air. Melalui pelan ini, PAAB mengambil alih semua aset air di Kelantan dan memberikan modal kepada AKSB untuk menguruskan bekalan air bersih serta memberikan fokus kepada operasi yang dikawal selia oleh SPAN.

Pembangunan air Kelantan terkini

Dengan hubungan baik yang ada sekarang, walaupun kita baru hendak mula berlari, dengan pertambahan penduduk dan perumahan yang sentiasa mengejar, Alhamdulillah, telah banyak Loji Rawatan Air yang siap dan hampir siap dibina di beberapa tempat yang bermasalah di Kelantan.

Menukar empat hingga lima ribu kilometer paip lama sedia ada, tentunya memakan masa yang lama dan memerlukan peruntukkan yang sangat tinggi. Saya juga telah meminta AKSB untuk memberikan fokus menangani masalah air di kawasan yang betul-betul serius agar boleh dilihat dan dirasai usaha yang dibuat.

Tuan-puan boleh melihat perkembangan pembangunan air di Kelantan dengan melakukan sedikit carian menggunakan kata kunci seperti ‘Pelan Induk Air Kelantan 2021’ atau ‘Laporan Projek Perkhidmatan Air Mengikut Jajahan’.

Tabayyun dalam menerima bahan di media sosial

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

(al-Hujurat: 6)

Di malam Jumaat ini, sama-samalah kita memperbanyakkan membaca al-Quran bersama keluarga. Vaksin pertahanan kita dari fitnah Dajal. Imuniti kita di akhirat.

YB DATO’ MOHD AMAR ABDULLAH
Pondok Tok Ayah Kedah, Kelantan Darul Naim – HARAKAHDAILY 9/7/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/watch/?v=2204075223089452

1 comment:

Anonymous said...

Masalah tarik balik peruntukan ni kena tanya atok. Atok yg berkuasa waktu itu. Atok khianat pada amanah sewaktu jadi pm. Atok tidak bantu kelantan kerana diperintah oleh pas. Begitu kuku besi atok dan atok perkenalkan cara politik firaun. Sekarang anak atok kata atok boleh menyejukkan situasi yg sedang panas. Macam wali anak atok bermadah.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails