Monday, July 05, 2021

Kita kena tahu, hukum kibar bendera putih...

 

Hukum kibar bendera putih untuk meminta bantuan

SOALAN

Salam, saya nak minta penjelasan tuan Mufti berkenaan isu kibar Bendera Putih baru-baru ini. Isu ni asalnya pasang Bendera Putih sebagai isyarat untuk minta bantuan jika ada yang dalam kesusahan era PKP, namun ada yang mengatakan tidak boleh kibar atau pasang Bendera Putih kerana seperti membuka aib dan ia menunjukkan kekalahan dan tanda putus asa. Mohon penjelasan tuan Mufti untuk isu ini. 

Ringkasan jawapan

Waalaikumussalam W.B.T. Hukum menggunakan Bendera Putih sebagai cara untuk meminta bantuan ketika kesusahan bergantung kepada perspektif kita melihat perkara tersebut. Jika perbuatan itu atas dasar membantu mereka yang memerlukan dengan cara memudahkan pihak yang ingin memberi bantuan dan mengenal pasti pihak yang dalam kesusahan, maka boleh dilaksanakan. 

Sebaliknya jika kita lihat itu sebagai mengaibkan diri sendiri maka wajar dielakkan. Dalam keadaan sekarang, ramai pihak sudi menghulurkan bantuan dan juga disediakan nombor-nombor untuk dihubungi bagi mereka yang dalam kesusahan. Mereka juga boleh menghubungi terus pihak yang membantu untuk segera mendapatkan bantuan. Ia terserah kepada pertimbangan masing-masing dalam melaksanakan melalui cara dan inisiatif dalam bentuk bagaimana yang dirasakan selesa.

Huraian

Alhamdulillah segala puji bagi Allah S.W.T Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, keluarga Baginda, para Sahabat, serta orang-orang yang mengikuti jejak langkahnya sehingga hari akhirat.

Meminta bantuan ketika kesusahan tidak dilarang di dalam Islam. Bahkan digalakkan untuk mereka yang mampu dari segi harta mencari orang-orang yang susah dan fakir miskin. Kebanyakan daripada kita semua beranggapan ramai yang mampu bertahan ketika dalam kesusahan, tetapi sebaliknya mereka yang dalam kesusahan ini memilih untuk memendam keresahan dan berdiam diri. 

Hal ini sangat bertepatan dengan firman Allah S.W.T:

لِلْفُقَرَاءِ الَّذِينَ أُحْصِرُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ لَا يَسْتَطِيعُونَ ضَرْبًا فِي الْأَرْضِ يَحْسَبُهُمُ الْجَاهِلُ أَغْنِيَاءَ مِنَ التَّعَفُّفِ تَعْرِفُهُم بِسِيمَاهُمْ لَا يَسْأَلُونَ النَّاسَ إِلْحَافًا ۗ وَمَا تُنفِقُوا مِنْ خَيْرٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَلِيمٌ

“Pemberian sedekah itu ialah bagi orang-orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); mereka itu disangka: orang kaya – oleh orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak. Dan (ketahuilah), apa jua yang kamu belanjakan dari harta yang halal maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahuinya.”


(al-Baqarah: 273)

Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili mengatakan ayat ini menegaskan kepada orang-orang Mukmin bahawa sedekah itu hendaklah diberi kepada orang-orang yang memerlukan, antaranya orang yang berjuang pada jalan Allah, orang yang tidak mempunyai keupayaan untuk mencari rezeki, orang yang menahan diri daripada mempunyai makanan dan pakaian kerana tidak mampu, orang yang jelas dalam kesusahan jika dilihat pada diri dan kehidupannya, serta orang-orang yang dalam kesusahan tetapi tidak meminta-minta dan meminta bukan dalam kadar yang berlebihan.

(RujukTafsir al-Munir 2/84-86 [1])

Antara meminta-minta dan meminta kerana susah

Umum mengetahui bahawa perbuatan meminta-minta adalah perbuatan yang buruk. Tetapi perlu difahami bahawa perbuatan meminta-minta yang dilarang tersebut adalah bagi orang yang mempunyai kemampuan serta cukup keperluannya yang kemudian masih lagi meminta-minta daripada orang lain.

Imam Ibn Kathir ketika menerangkan bahawa perkataan (لا ‌يسألون ‌الناس ‌إلحافا) dalam ayat 273 Surah al-Baqarah merujuk kepada perbuatan meminta-minta kepada orang lain dalam keadaan dia tidak mempunyai hajat atau keperluan kepadanya. Menurut beliau lagi, perbuatan meminta-minta yang dilarang juga merujuk kepada orang yang sengaja meminta sesuatu daripada orang lain untuk menambah atau memperbanyakkan hartanya.

(Rujuk Tafsir Ibn Kathir 705/1[2])

Tambahan lagi, terdapat beberapa Hadis yang diriwayatkan berkenaan perkara ini, antaranya Rasulullah S.A.W bersabda:

” ‌من ‌سأل ‌وعنده ‌ما ‌يغنيه ‌فإنما ‌يستكثر ‌من ‌جمر ‌جهنم ” قالوا يا رسول الله: وما يغنيه؟ قال: ” ما يغديه أو يعشيه “

“Sesiapa yang suka meminta-minta sedangkan dia mempunyai kecukupan keperluan bagi dirinya maka dia sedang memperbanyakkan batu api neraka. Mereka bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimanakah dikira sebagai cukup keperluannya?” Baginda menjawab, “Sesuatu yang mencukupi bagi dirinya (untuk makan) pada waktu siang dan malam.

(Riwayat Abu Daud (1629))

Selain itu, terdapat juga riwayat lain yang menyebut mengenai orang yang meminta-minta dengan tujuan untuk mengumpul harta, sedangkan dalam masa yang sama keperluannya mencukupi. Rasulullah S.A.W bersabda:

مَنْ سَأَلَ اَلنَّاسَ أَمْوَالَهُمْ تَكَثُّرًا, فَإِنَّمَا يَسْأَلُ جَمْرًا, فَلْيَسْتَقِلَّ أَوْ لِيَسْتَكْثِرْ

“Sesiapa yang meminta harta daripada orang lain dengan niat untuk memperbanyakkan hartanya maka dia sebenarnya meminta bara api neraka. Oleh itu, terpulanglah pada dia untuk meminta sikit atau banyak.”

(Riwayat Ibn Hibban (534))

Perbuatan meminta-minta adalah dilarang sekiranya orang meminta tersebut mempunyai kemampuan untuk bekerja mencari rezeki dan keperluannya mencukupi. Namun begitu, dalam keadaan memaksa dan tersepit, meminta bantuan adalah perkara yang wajar dan tidak termasuk dalam larangan meminta-minta yang dinyatakan. 

(Rujuk Tafsir al-Munir 76/3[3]; Syarh al-Masobih 442/2[4])

 Tolong menolong asas kekuatan orang beriman

Islam menggalakkan umatnya untuk mengambil berat terhadap masyarakat sekeliling terutamanya jiran tetangga. Ini kerana asas keimanan seorang Mukmin adalah sifat tolong-menolong sesama jiran yang dalam kesusahan. Sabda Nabi Muhammad S.A.W:

لَيْسَ الـمُؤْمِنُ الذِي يَشْبَعُ، وَجَارُهُ جَائِعٌ إِلَى جَنْبِهِ

“Tidaklah seorang itu dianggap orang beriman yang mana dia dalam kekenyangan dan dalam masa yang sama jiran sebelahnya kelaparan.”


(Riwayat al-Baihaqi (19668))

Hadis di atas menunjukkan betapa pentingnya untuk seorang Mukmin mengambil cakna akan jiran tetangganya serta tidak mementingkan diri sendiri. Seorang Mukmin juga sepatutnya mengamalkan sikap cakna dan saling menguatkan antara satu sama lain. Oleh kerana itu, dalam keadaan saudara seislamnya dilanda kesempitan dan kesusahan, orang yang beriman perlu menghulurkan bantuan bagi mengurangkan beban saudara seagama mereka.

(RujukFiqh al-Nawazil li al-Aqaliyyat al-Muslimah 930/2[5])

Kesimpulan

Sebagai kesimpulannya, meminta bantuan sama ada dalam bentuk kewangan, makanan dan sebagainya adalah dibenarkan bagi orang yang betul-betul dalam kesempitan. Manakala hukum menggunakan Bendera Putih sebagai cara untuk meminta bantuan ketika kesusahan bergantung kepada perspektif kita melihat perkara tersebut. Jika perbuatan itu atas dasar membantu mereka yang memerlukan dengan cara memudahkan pihak yang ingin memberi bantuan dan mengenal pasti pihak yang dalam kesusahan, maka boleh dilaksanakan. 

Sebaliknya jika kita lihat itu sebagai mengaibkan diri sendiri pula maka wajar dielakkan. Dalam keadaan sekarang, ramai pihak sudi menghulurkan bantuan dan juga disediakan nombor-nombor untuk dihubungi bagi mereka yang dalam kesusahan. Mereka juga boleh menghubungi terus pihak yang membantu untuk segera mendapatkan bantuan. Ia terserah kepada pertimbangan masing-masing dalam melaksanakan melalui cara dan inisiatif dalam bentuk yang bagaimana yang dirasakan selesa.

Suasana pandemik sekarang ini adalah berbeza dan di luar dari kebiasaan yang pernah kita hadapi. Terdapat ramai pihak yang hidup ditimpa kesusahan dengan pelbagai bentuk masalah melibatkan pelbagai latar belakang. Oleh itu tidak sepatutnya sebarang isu yang berkaitan dengan bantuan dan meminta bantuan dipolemikkan. Bagi yang ingin membantu, tanamkan keikhlasan dalam hati untuk membantu, manakala bagi yang memerlukan bantuan pula boleh memohon bantuan mengikut kaedah yang dirasakan selesa dengan cara masing-masing. Apa yang penting tunjukkan akhlak dan perilaku yang mulia di semua keadaan.

Wallahua’lam. 

[1] الإحصار في سبيل الله, العجز عن الكسب, التعفف, القرائن المميزة لهم, عدم السؤال أصلا وعدم الإلحاح في السؤال[2] أي: لا يلحون في المسألة ويكلفون الناس ما لا يحتاجون إليه، فإن من سأل وله ما يغنيه عن السؤال، فقد ألحف في المسألة؛[3] القوة والسوي الخلق: السليم الأعضاء، والمراد به القادر على الكسب.[4] “تكثرا”: مفعول له؛ أي: ليكثر ماله، لا للاحتياج.[5] فما آمن حق الإيمان من بات شبعان وجاره جائع (3)، والمسلم للمسلم كالبنيان يشد بعضه بعضا

Sumber Asal: https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/4853-irsyad-al-fatwa-siri-ke-588-hukum-kibar-bendera-putih-untuk-meminta-bantuan

5 comments:

Anonymous said...

JANGAN KIBAR BENDERA PUTIH INI
KIBARKAN SAJA BENDERA HITAM AYOH.!
JON DOE KATA ATOK KIBAR PANJI
BENDERA HITAM & PANJI ITAM KAN TAK JAUH


TEMBERANG JON DOE BUKAN KALENG KALENG
TUN DIA KATA KIBAR PANJI ITAM DARI TIMUR
WALAUN TUN PALING TERKINJA TERGULING GULING
KESIAN PARTI PEJUANG PUN MATI TIADA KUBUR


Q SERRA SERRA...


KIKIKIKI...

Anonymous said...

Manusia klau dah susah, bendera apa pun dorang angkat.

Lebih malang. Manusia klau dah susah boleh jadi SYIRIK.

Manusia tu syirik dia berdosa. Kerejaan gagal yg mengongkong tanpa bantuan secukupnya malah halang pulak bantuan pun ada dosanya juga.

Anonymous said...

Celah mana halangan bantuan itu di lakukan semata mata bendera putih aje yer suma bantuan terhalang kot...

Kibar bendera warna pelanginpunn bolehh..!

Anonymous said...

Orang pompuan tiap bulan kibar bendera merah....murung pak aji !!!!

Anonymous said...

Mengutuk memperlekehkan tu kira menghalang le.

Yg hukum haram pun ada. Terbantut usaha org susah nak minta bantuan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails