Thursday, July 08, 2021

Panduan, polisi pasaran karbon pula. -KASA

 

KASA rangka garis panduan, polisi pasaran karbon

PUTRAJAYA: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sedang menyediakan garis panduan pasaran karbon dan polisi harga karbon bagi memberi panduan jelas kepada pihak yang ingin terlibat dalam pasaran karbon sukarela.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kerajaan perlu memastikan aktiviti perdagangan karbon tidak menjejaskan pencapaian pengurangan pelepasan gas rumah kaca (GHG) negara, khusus bagi mencapai Nationally Determined Contribution (NDC).

Katanya adalah penting bagi Malaysia memuktamadkan NDC dan menyiapkan dokumen dasar yang berkaitan sebelum menetapkan hala tuju karbon dan mengumumkan sasaran baharu negara untuk mencapai sifar bersih.

Sifar bersih merujuk kepada pelepasan sifar karbon dioksida bagi kepentingan alam sekitar manakala NDC merangkumi pelan sesebuah negara berkaitan perubahan iklim yang digariskan di bawah Perjanjian Paris Mengenai Perubahan Iklim 2015.

Tuan Ibrahim berkata demikian ketika berucap secara maya pada majlis Pelancaran Buku The Tree, The Sky, The Sun: A Pathway towards Malaysia’s Carbon Neutral Future hari ini. Buku yang diusahakan oleh Shell Malaysia bersama pihak berkepentingan lain itu mengisahkan senario bagaimana Malaysia dapat mencapai pembangunan rendah karbon menjelang tahun 2065.

Dalam pada itu Tuan Ibrahim berkata Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030 (LCMB) akan dilaksanakan dalam masa terdekat memandangkan bidang pengangkutan antara sektor utama pelepasan GHG terbesar di Malaysia.

Melalui pelan itu, katanya pengurangan pelepasan GHG dianggarkan sebanyak 165 juta tan karbon dioksida dan akan menjimatkan perbelanjaan bahan api sebanyak RM150 bilion untuk tempoh 10 tahun.

“Beberapa strategi utama seperti penggunaan kereta, bas dan motosikal elektrik serta promosi mobiliti aktif adalah antara usaha mengurangkan penggunaan tenaga dan pelepasan GHG,” katanya.

Beliau berkata Pelan Induk Bandar Rendah Karbon Negara juga akan dilaksanakan sebagai panduan asas dan hala tuju kepada Kerajaan Persekutuan, negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya, KASA telah melancarkan Geran Pemangkin Bandar Rendah Karbon (GeRAK) bernilai RM35 juta untuk memperkasakan inisiatif bandar rendah karbon berimpak tinggi dengan keutamaan diberikan kepada PBT yang telah melaksanakan Rangka Kerja Bandar Rendah Karbon (LCCF) dan menyertai Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 (LCC2030C) dalam kategori Kawasan Zon Rendah Karbon.

“Diharap geran tersebut menjadi pemangkin kepada agenda pertumbuhan hijau di peringkat akar umbi di samping menjana lebih banyak peluang ekonomi hijau tempatan, mengurangkan kesan terhadap alam sekitar dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata komitmen Malaysia dalam agenda perubahan iklim diterjemahkan melalui penubuhan Majlis Tindakan Perubahan Iklim Malaysia (MyCAC) yang memperkenalkan mekanisme pasaran karbon dan membangunkan agenda Pelan Pemulihan Hijau seperti Perjanjian Baharu Hijau sekali gus menjadikan Malaysia hab dalam bidang ekonomi, perkhidmatan dan teknologi hijau. – BERNAMA

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails