Thursday, August 08, 2019

Datanglah! Melayu Menunggu Mu Di Cape Town. (3)


KEINDAHAN bandar Cape Town dari puncak Table Mountain. - Foto Zalina Mat Som
Budaya Melayu mekar di Cape Town 
BHplus Isnin, 23 November 2015

RESTORAN sajian Melayu di Cape Town.


PEMBENTUKAN komuniti Melayu di Cape Town, Afrika Selatan berasal daripada penghijrahan awal masyarakat itu dari Nusantara termasuk dari Tanah Melayu dan wilayah lain seperti Indonesia, Thailand, Filipina dan Champa di Kemboja sejak 200 tahun lalu.

Kehadiran orang Melayu yang dibawa oleh penjajah British dan Belanda sehingga mewujudkan perkampungan Melayu yang kini masih mengekalkan tradisi sejak sekian lama.

Perubahan zaman, keadaan dan persekitaran tidak melunturkan semangat serta jati diri mereka sebagai anak Melayu dengan mengekalkan pegangan agama, adat resam dan tatasusila berlandaskan syariat.


PENEMPATAN awal masyarakat Melayu di Bo Kaap, Cape Town.

Bagaimanapun, semangat dan jati diri itu tidak mudah dipertahan serta dipulihara seperti yang dialami oleh Ismail Omar, 90. Beliau pada awalnya tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu kerana dasar Inggeris yang hanya membenarkan mereka bertutur dalam bahasa tempatan di Afrika.

Ketika remaja, jiwanya begitu kuat untuk mempelajari bahasa Melayu yang pernah ditutur datuk nenek mereka sejak sekian lama, sekali gus tidak rela bahasa ibunda itu lenyap begitu sahaja.

ISMAIL (dua dari kiri) dan Hawa (kanan) bersama masyarakat Melayu yang menetap di Cape Town. - Foto NSTP

Berpegang pada kehendak dan semangat juang yang tinggi sebagai anak Melayu, beliau menguatkan azam mempelajari bahasa warisan nenek moyang daripada kelasi kapal dari Indonesia.

Setiap kali menerima khabar kapal dari Indonesia akan berlabuh, beliau berusaha bertemu dengan kelasi berkenaan untuk belajar bahasa Melayu dan bertutur menggunakan bahasa itu yang kemudiannya dilanjutkan pula dengan belajar menulis.

Ismail berkata, beliau terus belajar tanpa jemu walaupun secara tidak formal. Berkat kesungguhan, beliau kini menjadi antara segelintir masyarakat Melayu yang mampu bertutur bahasa Melayu dengan fasih.

Ismail berkahwin dengan wanita berbangsa Inggeris dari Scotland, Hawa Abdul Rahman.

Kesungguhan Ismail mendapat pengiktirafan daripada banyak pihak, malah jasanya menerbitkan naskhah sejarah masyarakat Melayu di benua Afrika itu juga mendapat pengiktirafan daripada pemimpin Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Beliau ketika ditemui di kediamannya di Cape Town, baru-baru ini berkata, bagi meneruskan kesinambungan bertutur dalam bahasa Melayu, beliau mendapat sokongan daripada Kerajaan Indonesia, yang menaja empat anak muda tempatan untuk mengikuti pengajian bahasa Melayu.

ISMAIL masih menyimpan naskhah sastera Melayu di kediamannya untuk rujukan generasi akan datang.

"Jumlah itu masih belum mencukupi dan kami berusaha untuk menghantar lebih ramai anak muda mengikuti pengajian bahasa Melayu.
"Justeru, saya mengharapkan agensi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Malaysia boleh membantu untuk mendapatkan tempat bagi generasi muda kami mengikuti pengajian itu.
"Walaupun sebahagian besar daripada generasi muda di sini sudah tidak boleh bertutur bahasa Melayu, penguasaan dalam bahasa berkenaan dapat dipertingkat dengan adanya tenaga pengajar dalam kalangan kami," katanya.
Ismail menambah, sebahagian besar masyarakat Melayu campuran di negara itu atau lebih dikenali sebagai Malay Cape, bertutur dalam bahasa Inggeris.
Sehingga kini, beliau masih menyimpan banyak naskhah sastera Melayu yang ditulis sama ada dalam tulisan Rumi mahupun Jawi.
SUSUN atur dalaman rumah menyerupai susunan rumah Melayu di Nusantara.

Melayu Cape kekal tradisi

Adat resam dan budaya Melayu boleh diibaratkan tidak lekang dek panas, tidak lapuk dek hujan dalam kehidupan Melayu Cape meskipun berhijrah ke Afrika Selatan sejak 200 tahun lalu.

Sebahagian besar masyarakat Melayu, kini menetap di kawasan Bo Kaap, iaitu penempatan asal mereka ketika zaman penjajahan Inggeris.

Kunjungan BH ke Bo Kaap mendapati, masyarakat di penempatan itu masih mengekalkan tradisi Melayu, termasuk dalam sajian hidangan, hiasan dalaman rumah dan cara berpakaian.

Sebagai contoh, adat bersalam-salaman masih diteruskan dengan menggunakan beberapa perkataan Melayu, antaranya selamat datang, apa khabar dan jumpa lagi.

Penduduk Bo Kaap, Yaseen George, 54, berkata masyarakat Melayu di sini masih mengamalkan aktiviti harian secara bergotong-royong seperti menjayakan kenduri kesyukuran dan majlis perkahwinan.

Beliau berkata, penduduk juga sering menganjurkan majlis tahlil, doa selamat dan bacaan Yasin pada setiap malam Jumaat.
YASEEN (kanan) bersama jirannya, Rowayda Adam, 60 dan Abdul Wahid (kiri) masih mengekalkan tradisi masyarakat Melayu.

"Selain itu, kami juga berzanji, berqasidah dan mengadakan perarakan sambil berselawat ketika sambutan Maulidur Rasul," katanya.

Ketika zaman penjajahan, Yaseen berkata, Inggeris melarang masyarakat Melayu berkumpul, namun pertemuan untuk program keagamaan masih dibenarkan.

"Maka, dengan adanya sesi bacaan surah Yasin pada setiap minggu, kami berpeluang berjumpa, sekali gus dapat bertanya khabar, selain mengeratkan hubungan silaturahim," katanya.

Pada pertemuan itu, beliau turut menghidangkan nasi beriani kambing, talam manis dan apam goreng yang dimasak oleh isterinya, Moseda George, ketika penulis berkunjung ke rumahnya di Bo Kaap, Cape Town, baru-baru ini.

Sementara itu, seorang warga emas di Bo Kaap, Abdul Wahid Ibrahim, 75, berkata masyarakat setempat masih mengadakan perjumpaan di masjid pertama yang dibina di kawasan berkenaan, iaitu Masjid Auwal, yang dibangunkan pada tahun 1794.

"Di masjid inilah, kami berjumpa dan bertanya khabar, menguruskan jenazah serta menganjurkan majlis keagamaan bagi mengeratkan persaudaraan," katanya.

Sejak masyarakat Melayu di kawasan itu mula aktif menghidupkan semula amalan berkenaan, Yaseen berkata, banyak pihak yang memberi maklum balas positif kepada usaha mereka.

"Penempatan kami mula dikunjungi oleh pengunjung dari seluruh dunia kerana lokasi ini mencatatkan sejarah awal penempatan Melayu Nusantara.

"Selain melihat sendiri kehidupan kami, pengunjung juga berpeluang menikmati keindahan semula jadi tempat ini yang begitu mengujakan," katanya.

Menurut Yaseen, antara destinasi tumpuan utama ialah Muzium Bo Kaap yang menyimpan pelbagai koleksi bersejarah masyarakat Melayu di penempatan itu.

Beliau berkata, di Cape Town sendiri banyak tempat menarik, antaranya Table Mountain, yang menjadi antara tujuh keajaiban semula jadi dunia. Pengunjung dapat menyaksikan keindahan bandar Cape Towe dari puncak gunung berkenaan.

Selain itu, kata Yaseen, pengunjung pasti asyik menikmati keindahan pemandangan yang menyaksikan pertembungan antara lautan panas dengan sejuk, iaitu Lautan Hindi dan Lautan Atlantik di Cape Point.

Pertembungan kedua-dua itu mewujudkan satu ketenangan dengan tiupan angin lembut yang pastinya meninggalkan memori indah kepada pengunjung ke sini.
WIDAD (kanan) dan Bilqees bangga menggayakan baju kurung moden.

Begitu juga dengan Asyraf Bazier, 51, yang menegaskan kehidupan moden pada masa kini tidak melupakan mereka terhadap sejarah keturunan.

Beliau berkata, keluarganya datang dari kepulauan Melayu, sekali gus masih meneruskan adat masyarakat Melayu campuran Arab yang diwarisi.

Dua anak perempuannya, Widad Bazier dan Bilqees Bazier juga masih meneruskan amalan tradisi yang diwarisi generasi terdahulu yang selesa mengenakan pakaian tradisional pada musim perayaan atau ketika menerima undangan majlis perkahwinan serta keraian.

Widad, 25, graduan Ijazah Sarjana Muda Perkhidmatan Kewangan Universiti Cape Town, manakala Bilqees, 20, pelajar tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi University of Western Cape, masing-masing berbangga menggayakan pakaian tradisional baju kurung moden yang disempurnakan dengan hijab.

"Walaupun tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu, kami masih menggunakan beberapa perkataan Melayu dalam kehidupan harian.

"Dengan hanya menggayakan baju kurung moden ini sudah cukup melambangkan kami sebahagian rumpun Melayu," katanya yang rapat dengan ibunya, Nazli Bazier, yang tegas mendidik berlandaskan pegangan agama Islam dan adat Melayu.
(https://www.bharian.com.my/node/99192)

Bersambung..

Lihat sebelum ini..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails