Thursday, August 01, 2019

Jom Kenali Melayu Afrika Selatan, Sejak Tahun 1600. (1)


PASTI ramai yang tidak tahu selain daripada Malaysia dan negara-negara lain di Asia Tengga seperti Brunei, Indonesia, Singapura,  Thailand dan Filipina bangsa Melayu juga boleh dijumpai di benua Afrika?

Terletak sejauh 9,588km daripada Kuala Lumpur di Cape Town, Afrika Selatan, terdapat sebuah kawasan yang dikenali Bukit Semboyan yang menjadi kediaman kepada keluarga-keluarga Melayu di sini.


Digelar sebagai Melayu Cape, Melayu di sini merupakan sebuah kumpulan etnik di Afrika Selatan. Berasal daripada Nusantara, orang Melayu telah dibawa masuk oleh pihak Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC).
Bermula pada tahun 1654, orang Melayu yang terdiri daripada golongan pembangkang politik, pejuang dan pemimpin yang menentang kehadiran pihak Belanda di Nusantara akan dijatuhkan hukuman penjara ataupun dibuang negara ke kawasan sini.
Ada yang berasal daripada Melaka dan ramai lagi yang dibawa masuk daripada kepulauan Jawa dan Sulawesi.
Sekiranya Seychelles menjadi tempat buangan tahanan polilik oleh pihak British, Belanda pula menjadikan Cape Town sebagai tempat mereka menempatkan kesemua tahanan politik bagi menjaga pengaruh mereka di Nusantara.
Tahanan yang ditangkap akan dibawa ke Cape Town secara berperingkat, iaitu dari seawal kurun ke-17, sehinggalah lewat kurun ke-19. Masyarakat yang terawal sampai di sana adalah orang Jawa dan diikuti oleh suku-suku lain dari kawasan sekitar. Mereka yang tiba di sini merupakan kumpulan yang pertama yang memperkenal agama Islam di Afrika Selatan.
Setakat hari ini, terdapat lebih kurang 166,000 orang Melayu Cape yang menetap di Cape Town dan kebanyakan daripada mereka menetap di Signal Hill atau lebih dikenali sebagai Bo-Kaap dan juga di District 6 sebelum ia diruntuhkan.
Selepas kemusnahannya mereka berpindah ke apa yang digelar bandar-bandar Berwarna di kawasan Cape Flats. Masjid Claremont Road, yang sering dikunjungi orang Muslim Cape, merupakan sebuah pusat penting pergerakan anti-aparteid.  Selain daripada Cape Town, terdapat lebih kurang 10,000 orang Melayu Cape yang menetap di Johannesburg.
Walaupun dikategorikan sebagai orang Melayu, namun masyarakat di sini tidak boleh bertutur di dalam bahasa Melayu dan mereka menggunakan bahasa Afrikaans untuk berkomunikasi di dalam kehidupan seharian mereka. Menurut Presiden pertubuhan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Tan Sri Mohd Ali Rustam, sekitar 2,000 orang Melayu pernah ditemuinya di Cape Town, hanya 2 orang, kedua-duanya berusia lebih 80 tahun, fasih bertutur dalam bahasa Melayu.
Menurut Ali Rustam, dua orang ini merupakan generasi kedua Melayu di Afrika Selatan, manakala generasi ketiga dna seterusnya yang dijumpainya langsung tidak boleh bertutur bahasa Melayu dengan fasih dan hanya boleh menggunakan perkataan mudah seperti ‘selamat pagi’ dan ‘apa khabar’.
Selain daripada itu, ciri-ciri kemelayuan pada Kampung Melayu di Cape Town turut pudar ditenggelami dengan budaya barat dan tempatan. Malah nama tempat yang asalnya daripada bahasa Melayu telah ditukar ke dalam bahasa Inggeris dan tempatan, antaranya Bukit Semboyan di Cape Town kepada Signal Hill.
Sumber : FMTWikipediaAzyan Yusuf
Kenali Melayu Cape Town. Bangsa Melayu yang tinggal di Afrika Selatan sejak awal tahun 1600 lagi.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails