WALAUPUN berlainan agama dengan anaknya, Ang Bee Cheng, 48, setia menemani malah sanggup berulang alik menguruskan anaknya yang menuntut di Darul Quran (DQ) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kuala Kubu Bharu.
Selama setahun Ang Bee Cheng, 48, ibu kepada mualaf, Tan Mike Foong, 23, mengambil dan menghantar anak sulung daripada tiga beradik itu ke DQ.
Tan yang mesra dengan panggilan Mike yang juga orang kurang upaya (OKU) dilahirkan buta akibat masalah saraf dan berjaya menamatkan pengajian Sijil Asas Tahfiz selepas menghafaz 10 juzuk al-Quran selama setahun di situ.
Dia yang turut menerima Sijil Anugerah Khas ditemani ibunya bersama-sama naik ke pentas menerima penganugerahan itu yang disempurnakan Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim dalam majlis Konvokesyen Darul Quran Ke-28, hari ini.
“Walaupun rumah kami dekat namun Mike mahu tinggal di tempat pengajiannya.
“Disebabkan dia tidak boleh melihat, saya terpaksa berulang alik meluangkan masa dengan membawa makanan, keperluan dan mengambil semula pakaian kotornya untuk dicuci di rumah.
“Hari ini semuanya terbalas apabila melihat kejayaan Mike malah lebih membuatkan saya terharu apabila gurunya meminta saya naik bersama-sama ke pentas,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Dalam pada itu, Mike yang memeluk Islam sejak 2015 berkata, dia sangat berterima kasih dan terharu dengan pengorbanan ibunya.
“Ibu sangat memberi sokongan kepada saya selama ini. Cuma kalau boleh saya tidak mahu susahkan dia untuk berulang alik setiap hari.
“Saya terkilan sebab dia sudah semakin berusia. Kalau boleh saya mahu berdikari, namun ibu berkata, selagi dia masih hidup dia akan menjaga saya,” katanya.
Sementara itu, Mike berkata, bukan mudah untuk dia menghafal juzuk al-Quran.
“Dalam proses menghafal itu perangai buruk saya datang. Apabila saya sedang bertasmik, saya terbiasa pegang al-Quran braille, jadi ia tak menjamin kualiti hafazan saya.
“Namun, saya berusaha membuang tabiat itu dan meminta kepada Allah SWT untuk memudahkan hafalan juzuk al-Quran,” katanya.
Mike kini sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang Diploma Tahfiz al-Quran dan Kiraat di pusat tahfiz sama serta perlu menghafaz semua 30 juzuk al-Quran dalam tempoh tiga tahun.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan kisah ikatan anak beranak itu yang tidak pernah putus sekalipun berbeza pegangan akidah.
Ang setia berulang dari kediamannya ke DQ setiap minggu demi memastikan keperluan anak sulungnya dipenuhi.
Malah pada cuti semester Ang turut menghantar dan menunggu Mike solat Jumaat di masjid berdekatan kediaman mereka. (MyMetro)
Lihat lagi..
No comments:
Post a Comment