Friday, August 09, 2019

Visa Haji, 'Niaga/Ulat' Paling Untung Di Bawah Tadbiran PH..

'Ulat Haji Furada' boleh untung sehingga RM20,000 bagi satu visa
AHMAD TAJUDDIN: Kalau mohon, apabila sudah masukkan nombor pin yang diberikan, ia tidak bermakna visa itu telah lulus.  


'Ulat Haji Furada' boleh untung sehingga RM20,000 bagi satu visa
SHAH ALAM: Kuota Visa Furada yang dianugerahkan dengan kuasa mutlak Kerajaan Arab Saudi kepada individu mahupun institusi terpilih di negara ini menjadi medium bagi 'ulat Haji Furada' mendapat keuntungan berlipat kali ganda.

Dalam perkembangan berkaitan isu itu, baru-baru ini 26 jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang King Abdul Aziz di Jeddah akibat masalah visa.

Menurut Ketua Pengarah Pusat Perunding Haji Furada Ahmad Tajuddin Idris Al-Manhaji, maklumat yang diterima mendapati terdapat 'ulat Haji Furada' yang berjaya meyakinkan pihak agensi pelancongan tertentu bahawa mereka 'orang dalam' dan boleh mendapat visa Furada.

Namun malangnya, ada antara mereka hanya mengejar keuntungan sehingga agensi pelancongan dan jemaah haji tertipu.

“Kemungkinan apa yang berlaku adalah apabila pasport itu diambil scammer (ulat) lalu disunting namanya dalam Visa Furada yang dicetak, tapi barcode tidak boleh diubah dan masalahnya apabila agensi pelancongan tidak menyemaknya. Apabila tiba di Arab Saudi, bila imbas keluar gambar orang lain.


“Ulat-ulat ini menggunakan ayat yang indah didengar oleh agensi pelancongan, dengan mengatakan mereka ada 'orang dalam' kedutaan. Namun apabila kami berhubung dengan kedutaan, si penama itu tidak bertugas di situ.

"Tidak kira ada orang dalam atau luar, kelulusan diberikan oleh kedutaan bergantung kepada kuota,” katanya

Malah jelasnya, kurang pengetahuan atau kemahiran oleh sesetengah agensi pelancongan yang menguruskan jemaah haji Furada berkenaan proses kelulusan kuota Haji Furada juga diambil kesempatan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mendapat keuntungan semata-mata.

“Jemaah dan agensi pelancongan perlu ambil tahu bagaimana sistem memohon ini berjalan. Kalau mohon, apabila sudah masukkan nombor pin yang diberikan, ia tidak bermakna visa itu telah lulus. Tetapi ia bergantung kuota dan senarai nama terpilih yang perlu dimasukkan dalam sistem.

“Ada agensi pelancongan dah berkempen jual pakej, sebaliknya perkara pertama yang mereka (patut lakukan dahulu adalah) perlu dapatkan Visa Furada yang sangat terhad," katanya ditemui Astro AWANI.

Akhirnya, harapan jemaah Haji Furada yang sanggup membayar sehingga RM60,000 untuk menunaikan rukun Islam kelima itu lebur, apabila tidak mendapat kelulusan Visa Furada saat akhir.

Tambah Ahmad Tajuddin, sistem yang diguna pakai oleh Kerajaan Arab Saudi bagi pengurusan haji amat canggih dan mesra pengguna sepertimana motto negara itu.

Justeru, cadangannya adalah agar satu pusat sehenti diwujudkan dengan melantik perunding berkenaan Haji Furada agar perkara yang sama tidak berlanjutan setiap kali musim haji.

“Beberapa 'tangan' yang mengurus, tidak ada satu pusat sehenti yang tulen ketika ini untuk menguruskan Haji Furada. Kalau PPHF boleh dilantik sebagai perunding, kami amat sudi membantu. Jika pihak kerajaan Arab Saudi juga boleh melantik," ujarnya.

Dalam kejadian dua hari lalu, 26 jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang King Abdul Aziz Jeddah apabila disahkan visa mereka 'palsu'. (AA)

Komen Weblog Ibnu HasyimVisa Haji, 'Niaga/Ulat' rupanya paling untung semasa di bawah pentadbiran kerajaan PH.. Yang malang ialah jamaah haji.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails