Saturday, June 09, 2018

Mantan Hakim Mahu Perjuang Islam Bersama PAS.


KUALA TERENGGANU: Perjuangan Islam yang menjadi dukungan PAS adalah penyebab utama mantan hakim, Dato' Muhammad Che Zulkifli Jusoh menyertai PAS

“Sebab utama saya masuk sebagai ahli PAS, yang paling utama ialah saya melihat kepada perjuangan Islam itu sendiri.
"Kita kena berhijrah daripada tempat yang tak berapa nak baik kepada tempat yang lebih baik, itu hijrah yang kita nak,” ujarnya yang juga bekas Ahli Parlimen Setiu.

Turut menambat hati beliau menyertai PAS ialah pemerintahan Kerajaan PAS di Kelantan dan Terengganu yang tiada kekecohan, bahkan musuh dijadikan kawan, selaim peruntukan dibahagi dan pendekatan ke arah ukhuwah.

Barisan kepimpinan Kerajaan Terengganu sekarang ini juga menurutnya, dilihat mempunyai kekuatan campuran akademik berlatar belakangkan keagamaan dan profesional yang hebat.

“Pada harapan saya, mereka dapat meneruskan pembangunan di negeri Terengganu ini, dapat menjalankan manifesto-manifesto yang diuar-uarkan selama ini,” ujar beliau.

Beliau ditemui selepas Program Motivasi Badar al-Kubra anjuran Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) di Masjid al-Furqan Chendering, di sini semalam. Turut hadir ialah Ahli Majlis Syura Ulama PAS, Dato' Dr Khairuddin Aman Razali; Setiausaha Agung PAS, Dato', Takiyuddin Hassan dan Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah dan Adun Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Menyentuh pandangan mengenai pembentangan semula RUU355, Dato' Zulkifli berpendapat ianya agak sukar dengan keadaan Ahli-ahli Parlimen Muslim yang berkurangan daripada penggal lalu. Beliau turut menyeru kepada semua yang masih berada di luar PAS untuk melihat perjuangan Islam yang dibawakan kerana dasar PAS itu sendiri mengangkat Islam sebagai sesuatu yang utama.

“Sebenarnya kalau kita nak kira, parti ini bukan pilihan yang pertama, parti ini ialah pilihan yang ketiga, tetapi perjuangan Islam itu sendiri.
"Kalau kita nak perjuangkan Islam, tapi tanpa dasar-dasar yang ada dalam sesebuah parti, yang tak mementingkan, mengutamakan kepada Islam, maknanya kita rasakan bahawa PAS adalah yang terbaik.
"Maknanya, dasar-dasarnya ke arah itu (mengutamakan Islam), bukan bila kita sebut parti itu, kita Islam.
"Yang Islam itu yang sebenarnya yang ingin diperjuangkan, tetapi parti ini adalah saluran kita, kita kena ada pertubuhan, baru kita boleh bergerak dan kita kena menang, barulah kita boleh jalankan apa agenda Islam,” tegas beliau.

Beliau yang berkelulusan sarjana muda Undang-Undang pernah menjadi Hakim Mahkamah Seksyen Jenayah Komersial, Pengarah Mahkamah Terengganu, Hakim Mahkamah Seksyen Kelantan selain daripada jawatan-jawatan lain. -HARAKAHDAILY 9/6/2018

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails