Tuesday, December 05, 2017

66 Tahun PAS Menyumbang Kepada Pendidikan Ummah




HARAKATUL ummah ini jasanya bukan kepalang kepada tanah leluhur ini, menyambut ulang tahun kali ke 66 semenjak ditubuhkan pada 24 November 1951. Antara usaha PAS yang konsisten semenjak penubuhannya ialah memberdayakan pendidikan Islam kepada masyarakat muslim negara ini. 
Dengan tunjang utamanya para asatizah dan ulama sejak dekad 1950-an maka tidak pelik parti Islam ini digelar "parti pak lebai". PAS menunjukkan komitmen yang serius dalam pendidikan seperti menyediakan biasiswa kepada pelajar-pelajar agama, mengembangkan institusi pendidikan Islam, membangunkan pendidikan di bawah kerajaan yang ditadbir oleh parti itu. 
Gerakan pendidikan dalam PAS menjadi semakin menggebu selepas transformasi kepimpinan yang dikenali sebagai kepimpinan ulama pada tahun 1982. Antara institusi pendidikan PAS yang paling cemerlang ialah Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), menjadi fenomena dan model pendidikan prasekolah terbaik di negara ini.
Dengan perkembangan pantas landskap politik, ekonomi dan sosial negara ini selepas kemerdekaan. Pendidikan prasekolah telah dibangunkan dengan pesat sama ada oleh pihak kerajaan, kerajaan negeri, pertubuhan bukan kerajaan, kesatuan sekerja setempat, badan-badan Islam seperti PERKIM, persatuan gereja-gereja kristian, pertubuhan politik dan juga NGO-NGO Islam. 
Berlakunya kebangkitan Islam di negara ini dalam dasawarsa 70-an dan 80-an telah turut menyemarakkan perkembangan pendidikan prasekolah, permintaan rakyat terhadap institusi pendidikan prasekolah Islam telah meningkat dengan berlakunya kesedaran Islam dalam keadaan peserta kebangkitan Islam tidak berpuas hati dengan prasekolah konvensional yang sedia ada di negara ini.
Riak untuk menubuhkan pusat prasekolah yang berorientasikan Islam semakin hebat pada penghujung dekad 70-an, terutama apabila kelompok kelas menengah Melayu semakin membesar terutama yang mempunyai kesedaran Islam. Penubuhan tadika-tadika Islam ini juga mempunyai sejarah yang menarik apabila ianya berlaku persefahaman di antara ABIM dan juga Dewan Pemuda PAS Pusat. ABIM diamanahkan untuk menggerakkan institusi prasekolah ini yang dikenali sebagai TASKI (Taman Asuhan Kanak-kanak Islam). Pendukung ABIM pula sebahagian besarnya adalah aktivis PAS sehinggalah Anwar Ibrahim menyertai Umno pada tahun 1982 yang menyebabkan sebahagian besar ahli ABIM yang juga aktivis PAS telah meninggalkan ABIM.
Di Terengganu pada tahun 1985, TASKI telah dikendalikan oleh Dewan Pemuda PAS Terengganu, manakala di Kelantan pula pusat pendidikan prasekolah yang ditaja oleh Lajnah Tarbiah Dewan Pemuda PAS Kelantan dikenali sebagai PUTRA ISLAM. Di peringkat negeri Kelantan pula, telah diadakan beberapa kali pertemuan dengan siswazah-siswazah Islam, aktivis pelajar Islam dan juga pihak lujnah tarbiah pemuda untuk menggubal sukatan dan skop pengajian prasekolah ini.
Di negeri Kedah pula telah diwujudkan pendidikan prasekolah di bawah kendalian Dewan Pemuda PAS Kedah yang dikenali sebagai Pusat Asuhan Tunas Islam. Dewan Pemuda PAS Kedah yang dipimpin oleh Najib Fahmi Yahaya telah menubuhkan PASTI di setiap kawasan di Kedah yang dikendalikan oleh Pemuda PAS kawasan masing-masing. Kebangkitan pendidikan pra sekolah PASTI ini berpunca daripada Majlis Ihtifal PASTI bertempat di Bangunan Tepian Gelanggang oleh Tuanku Sultanah Bahiyah iaitu Permaisuri Sultan Kedah sendiri pada penghujung tahun 1988. Penubuhan PASTI dengan pantas mendapat sambutan di Kedah termasuk pelajar bukan Islam turut dihantar belajar seperti di kawasan Padang Serai dan juga Kodiang, Kedah.
Perkembangan pesat pendidikan prasekolah di bawah kendalian Dewan-dewan Pemuda PAS negeri telah menyebabkan timbulnya usul dalam Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat pada tahun 1988 supaya diwujudkan program pendidikan untuk anak-anak ahli PAS. Keprihatinan pemuda PAS ini juga berkait rapat dengan persaingan agenda kaderisasi dengan pertubuhan Islam lain di negara ini dan juga manifestasi kekecewaan Pemuda PAS dengan sistem pendidikan negara yang dilihat gagal melahirkan pelajar yang memahami Islam dengan baik.
Dewan Pemuda PAS Pusat yang sewaktu itu dipimpin oleh Ustaz Haji Abu Bakar Chik telah mengambil tindakan susulan daripada usul muktamar Pemuda PAS. Satu tindakan diambil dalam mesyuarat bulanan Dewan Pemuda PAS Pusat yang bersidang pada 6 Mei 1988 telah memutuskan penggunaan nama PASTI untuk semua institusi prasekolah milik ahli PAS dan sebuah jabatan yang dikenali sebagai jabatan pendidikan prasekolah dibentuk di peringkat pusat diketuai oleh Dr Abu Bakar Abdullah untuk menyelaraskan pendidikan prasekolah ini.
Pada 29-30 Mei 1988 telah berlangsung seminar prasekolah di Masjid Rusila, Terengganu yang telah dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat. Seminar ini adalah rentetan daripada keseriusan Dewan Pemuda PAS untuk merakyatkan pendidikan prasekolah yang berorientasikan Islam di negara ini dengan penglibatan PAS dengan sistematik. Dua orang tokoh pendidikan PAS telah membentangkan kertas kerja iaitu Ustaz Harun Taib dan Ustaz Abdul Halim Arshat.
Dalam sejarah penubuhan PASTI dan perkembangannya, Dr Abu Bakar Abdullah telah dilantik sebagai pengarahnya yang pertama pada 18 Mei 1989, manakala Ustaz Mohd Najib Fahmi Yahaya sebagai Timbalan Pengarah PASTI Pusat. Setiausaha PASTI Pusat yang pertama ialah Ishak Ismail manakala bendaharinya ialah Ustaz Noh Ahmad. Semua Pengarah PASTI negeri telah dilantik untuk menganggotai Jawatankuasa PASTI peringkat Pusat.
Sesi 2018 akan bermula kurang daripada sebulan lagi, ibubapa yang masih mencari tapak pendidikan awal prasekolah bolehlah memilih PASTI yang telah terbukti berjaya melahirkan produk terbaik. Bukan sahaja anak-anak PASTI gemilang dalam asuhan Islam tetapi dalam pelbagai bidang dan dimensi kehidupan. Mereka dilatih menjadi pendakwah dan orator melalui pertandingan dan persaingan. Sehingga kini, alumni PASTI berjaya merakam serta menoreh sejarah. Pemegang PhD termuda negara ini adalah bekas pelajar PASTI di Kedah, pemenang sukan pemotoran tahap dunia ada antaranya alumni PASTI, pemenang anugerah sukan dan pelbagai bidang. PASTI terus maju dan menjadi pemain utama dalam usaha melahirkan anak-anak celik al Quran dan fardhu Ain di tengah kebejatan dan kerosakan moral generasi muda negara ini. PASTI adalah pilihan terbaik dan anda tak akan menyesal memilih prasekolah Islam ini! – HARAKAHDAILY 3/12/2017

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails