Thursday, December 07, 2017

5 Perkara Ini Akan Dilaungkan Dalam PAU -K/Penerangan PKR.




Minggu ini media akan tertumpu kepada Perhimpunan Agung Umno (PAU) ke-71. Sudah pasti liputan kali ini akan lebih meluas memandangkan persidangan berkenaan dikatakan sebagai persidangan terakhir sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Tidak mengapa. Ini musimnya dan ini kebiasaannya. Tidak ada apa yang pelik. Jika Umno tidak mengambil kesempatan penuh daripada persidangan tersebut untuk memalu gendang perang PRU, maka itu yang pelik.

Justeru, nantikan mantera Umno seperti biasa. Nantikan penegasan daripada pucuk pimpinannya akan perjuangan parti itu untuk membela nasib Melayu, bumiputera dan Islam.

Nantikan laungan bergema bahawa parti itulah satu-satunya parti yang membawa kemerdekaan dan memimpin bangsa serta negara ke arah kejayaan.
Dengarlah nanti pelbagai ulangan inisiatif transformasi yang telah dilaksanakan dan angka-angka hebat lagi gah yang membuktikan Umno BN telah berjaya memartabatkan bangsa, agama dan negara.

Dan sudah semestinya nantikan juga kesemarakan semangat dan azam supaya setiap anggota dan jentera parti membina kesatuan menghadapi PRU-14 dalam nada mood kemenangan atauwinning mentality. Seperti kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam blognya, “…UMNO adalah parti yang cintakan negaranya, yang sanggup berkorban hingga ke titisan darah terakhir demi Malaysia…”

Terlalu meleleh

Di samping itu, persidangan Umno tidak akan meriah tanpa serangan dan sindiran. Meskipun nada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agak lembut menjelang persidangan dengan pesanan supaya jangan menyerang Tun Dr Mahathir Mohamad dan jangan lupakan kepentingan bangsa lain namun senjata serangan dan sindiran lazimnya wajib digunakan dalam majlis Umno yang dikatakan menjadi tumpuan umum.

Apakah ini akan menyebabkan serangan dan sindiran persidangan Umno lebih lembut? Saya fikir tidak kerana beberapa sebab.

Pertama, kerana pengaruh dan faktor Tun Mahathir dalam mengesani PRU ke-14 tidak boleh dinafikan. Justeru, nantikan serangan terhadap “orang itu” seperti yang selalu digelar oleh Datuk Seri Najib ke atas Tun Mahathir. Dalam ucapan dasar Datuk Seri Najib tahun lalu, beliau menyifatkan Tun Mahathir sebagai menderhaka kepada Umno, bangsa dan tanah air, malah memiliki tanda-tanda sifat kemunafikan.

Rumusan dan syor oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing (Forex) Bank Negara Malaysia pada 1990-an sudah tentu juga akan digunakan sebagai modal.

Walaupun siasatan polis belum bermula namun kaitan antara Tun Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kemungkinan berlaku pecah amanah dan penipuan dalam skandal berkenaan agak terlalu “meleleh” untuk dilepaskan begitu sahaja oleh Najib.

Masa pembentangan laporan RCI itu pada hari terakhir Parlimen (tanpa tempoh perbahasan yang munasabah) dan beberapa hari sebelum persidangan Umno agak mencurigakan.

Kedua, kerana sentimen bangsa dan agama kepada orang Melayu agak mendalam maka serangan ke atas DAP kononnya sebagai pengkhianat negara dan penghakis kuasa melayu, bumiputera dan Islam akan terus diapi-apikan, sambil DAP dipotretkan sebagai parti tunjang kepada Pakatan Harapan (HARAPAN).

Tahun lalu, Datuk Seri Najib melagakan antara keindukan kerajaan pimpinan Umno dan keindukan kerajaan pimpinan DAP dalam pemilihan oleh rakyat untuk PRU ke-14.

Beliau memberi gambaran sekiranya negara jatuh ke tangan DAP, pastinya hak dan keistimewaan yang diperjuang serta dipertahankan oleh Umno selama ini, termasuk Institusi-institusi bumiputera antaranya PNB, MARA, Felda, Risda, Felcra dan TERAJU akan pupus dan lenyap.

Harapan rapuh

Ketiga, kerana sentimen agama juga kuat di kalangan orang Melayu maka serangan akan dibuat ke atas pembangkang sebagai penyebar pelbagai fitnah dan tohmahan yang merosakkan konsep wasatiyah atau kesederhanaan yang ditekan oleh parti pemerintah.

Parti pembangkang akan dituduh pengancam keamanan dan perpaduan melalui penyebaran berita palsu dan politik kebencian.

Dalam pada itu, parti PAS tidak akan diserang. PAS akan tetap dianggap sebagai parti sahabat walaupun hubungan antara PAS dan Umno masih samar selain usul persendirian RUU355 tertangguh hingga sekarang.

Dalam ucapan tahun lalu, Datuk Seri Najib meminta supaya isu RUU355 tidak dipolitikkan kerana ia adalah satu usul persendirian yang kemudiannya akan diambil alih oleh kerajaan persekutuan. (Baca: Orang lain tidak boleh politikkan tetapi Umno BN boleh).

Keempat, saya percaya serangan dan sindiran persidangan Umno tidak akan lembut kerana kekuatan HARAPAN boleh menggagalkan kemenangan BN dalam PRU-14.

Serangan bahawa HARAPAN rapuh dengan kepimpinan tidak menentu selain masalah pendaftaran sudah barang pasti akan dilakukan. Masalah dalaman kepimpinan Umno dan dakwaan rasuah ke atas pimpinan dan anggota Umno tidak akan disentuh.

Kelima, antara sebab yang paling utama mengapa serangan Umno akan lebih keras ialah kerana Najib dan Umno mahu menutup skandal 1MDB dan kepincangan tadbir urus ekonomi. Lantang dan keras ke atas pembangkang tapi pendamkan pekung sendiri. “Kejayaan” lawatan kerja Najib ke Amerika Syarikat akan dizahirkan sebagai bukti semuanya terkawal.

Tahun lalu, Najib hanya menyentuh perkataan 1MDB sekali sahaja dalam ucapannya. Itu pun katanya, sebahagian besar isu sudah dijawab dengan jelas. Menurutnya, adalah lebih mustahak untuk beliau tumpu kepada memajukan ekonomi dan pembangunan negara.

Dengan kata lain, skandal 1MDB yang bernilai puluhan bilion ringgit itu tidak penting kepada beliau. Persoalannya ialah apakah modal dan skrip yang sama ini akan berulang? Pada pendapat saya, kemungkinan besar ia akan berulang. Jika berulang, ia akan umpama rekod buruk dan tiada yang menarik.

Ucapan berbeza

Saya tidak mahu mendahului penilaian oleh rakyat tetapi saya percaya rakyat sudah lebih memahami bahawa masalah yang dihadapi negara dan rakyat bukannya datang dari pembangkang atau mereka yang keluar parti, letak jawatan atau dipecat.

Siapa yang bertanggungjawab dengan skandal 1MDB jika tidak penasihatnya? Siapa yang tambah hutang negara dan beban rakyat untuk tutup hutang dan ‘jual negara’ kepada China?

Rakyat juga lebih mengetahui bahawa masalah dengan institusi bumiputera bukannya berpunca daripada DAP atau pembangkang tetapi dengan tadbir urus oleh Umno BN sendiri.

Siapa yang samseng burukkan nama Melayu? Siapa yang potong biasiswa dan pinjaman pelajar? Adakah Melayu hancur di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan yang Umno tidak perintah?

Jika Umno pejuang Islam dan wasatiyah, siapa yang songlap dana 1MDB masuk akaun peribadi? Siapa yang porak peranda kefahaman tentang syariah bila tidak ambil tanggungjawab penjelasan awal tentang RUU 355? Siapa yang membiarkan budaya ganas, samseng dan zalim menular?

Jika Umno pejuang rakyat dan negara, siapa yang guna cukai GST yang bebankan rakyat? Siapa yang potong subsidi barangan termasuk minyak petrol, elektrik, tol, beras, gula dan minyak masak? Siapa yang bawa masuk ramai pekerja asing dan tutup peluang pekerjaan buat rakyat?
Oleh itu, apakah kita akan melihat ucapan yang berbeza kali ini daripada Najib?

Menurut laporan Bernama pada 3 Disember lalu, peringkat akar umbi Umno lebih tertarik untuk mendengar bagaimana Najib menangani naratif negatif tentang beliau dan pentadbirannya berhubung isu-isu seperti 1MDB, GST, kedaulatan Malaysia dalam hubungan pelaburan asing serta dakwaan salah urus ekonomi negara ini.

Pembaca yakinkah Najib akan menjawabnya? Saya yakin tidak. Menjawab dengan terus-terang tentang isu 1MDB contohnya, seolah-olah seperti membunuh diri. Itu bukan mantera beliau untuk menyelamatkan dirinya dan Umno BN daripada kekalahan dalam PRU-14.

Syed Ibrahim Syed Noh
Ketua Penerangan PKR.


Lihat sebelum ini..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails