Wednesday, November 09, 2016

Azmin Jangan Khianati Rakyat Isu RM2.9 Bilion – Khalid


Azmin Jangan Khianati Rakyat Isu RM2.9 Bilion - Khalid

KL: Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberi peringatan kepada Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali supaya tidak mengkhianati rakyat dalam isu pembayaran ekuiti kepada Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (SPLASH).

Tegas beliau, sebarang usaha oleh kerajaan Selangor yang kini dibawah pentadbiran Mohamed Azmin selaku Menteri Besar untuk membayar lebih daripada apa yang ditetapkan dalam Perjanjian Utama bertarikh 12 September 2014 tidak lain dan tidak bukan merupakan pengkhianatan kepada kepercayaan yang diberikan oleh rakyat.
Justeru, Abdul Khalid membidas Mohamed Azmin kerana menggunakan kepakaran politiknya untuk mengalihkan fokus rakyat daripada isu tersebut dengan mendakwa kononnya beliau juga pernah membuat tawaran pengambilalihan ekuiti kepada SPLASH melebihi RM2.9 billon sewaktu menjadi Menteri Besar.
“Ada pihak yang tidak senang dengan kenyataan saya dan membuat tuduhan liar dan palsu bahawa saya juga pernah membuat tawaran pengambilalihan ekuiti kepada SPLASH melebihi RM2.9 bilion. Ada juga yang cuba mengalih fokus kononnya saya hanya bercakap di luar dewan namun hakikatnya, mereka gagal menjawab persoalan pokok.
“Menteri Besar Selangor juga mengeluarkan kenyataan akhbar seolah-olah mencabar saya untuk memberi penerangan tentang tawaran RM2.9 bilion kepada SPLASH pada 2009. Sekali lagi saya ulang bahawa cabaran itu dibuat tanpa menjawab persoalan pokok,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Abdul Khalid yang digulingkan daripada jawatan Menteri Besar Selangor oleh PKR pada tahun 2014 pada 5 November lalu menegaskan kerajaan Negeri Selangor di antara 2008 dan 2014 tidak pernah menawarkan RM2.975 bilion untuk mengambil alih ekuiti syarikat konsesi air SPLASH.
“Saya dengan penuh tawaduk menunggu jawapan daripada pihak DUN Selangor mengenai satu masa yang sesuai bagi sesi taklimat saya ini. Saya percaya Speaker akan menggunakan sepenuhnya bidang kuasa beliau dengan adil dan saksama,”katanya.
Tegas beliau, dakwaan-dakwaan yang dibuat oleh Mohamed Azmin seperti yang dilaporkan oleh SelangorKini dan Free Malaysia Today adalah tidak benar, mengelirukan dan cubaan jelas untuk mengalihkan perbincangan mengenai keputusan pentadbiran beliau untuk membayar ekuiti SPLASH RM2.7 billion iaitu 10 kali lebih tinggi daripada tawaran asal berjumlah RM250.6 juta.
Sehubungan itu, Abdul Khalid berkata, pihaknya telah menghubungi pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor untuk menetapkan satu masa yang sesuai bagi memberi laluan kepadanya memberi pencerahan di samping menjawab sebarang pertanyaan berkenaan isu ini secara komprehensif, berhemat dan matang.
Abdul Khalid digulingkan daripada jawatan Menteri Besar pada tahun 2014 oleh parti sendiri iaitu PKR kerana Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail memegang jawatan itu.
Hasrat Anwar ketika itu disokong DAP tetapi dibantah keras PAS selaku parti bersekutu dalam Pakatan Rakyat kerana melihat perbuatan itu satu pengkhianatan dan kezaliman ke atas Abdul Khalid.
Namun, PKR dan DAP mengabaikan bantahan PAS dan meneruskan usaha menggulingkan Abdul Khalid hingga berjaya.
Hasrat Anwar melihat isterinya menjadi Menteri Besar Selangor bagaimanapun tidak kesampaian kerana gagal mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Sultan Selangor kemudian berkenan melantik Mohamed Azmin sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu selepas PKR dititah supaya mengemukakan calon lain. (IH)


3 comments:

Anonymous said...

PKR, DAP dan G-18 jatuhkan orang profeasional sampai berdendam dgn PAS. Nah kaooooopop

Anonymous said...

Kerana menyokong Nepotisme, DAP, PKR dan G18 berjaya menghancurkan PR

Anonymous said...

Ingat semua! Semasa kemuncak tindakan pemecatan tski sebagai ahli Pkr, Pas telah menganjurkan solat hajat di rumah MB tanda sokongan kepada tski, memohon dari Allah supaya tski terus menjadi MB walaupun telah dipecat dari parti sendiri.

Apakah doa Pas dimakbulkan Allah? Tidak bukan? Banyak doa2 dan solat2 hajat anjuran Pas tidak dimakbulkan Allah. Sebab apa ya?

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails