Sunday, November 06, 2016

PKINK Rancang Sedia 5,000 Peluang Pekerjaan - Dr Wan Zawawi



KOTA BHARU: Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) menawarkan 5,000 pekerjaan kepada anak Kelantan dalam pelbagai bidang kerja tempoh 10 tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK, Dr Wan Zawawi Wan Ismail berkata, ia merupakan perancangan dalam tempoh 10 tahun dalam bidang hartanah, pertanian dan perlombongan yang  memberi hasil kepada kerajaan negeri.

"Kalau rezeki dan pendapatan kita bertambah dalam tempoh 10 tahun lagi, kita boleh menyediakan 5,000 peluang pekerjaan kepada anak kelantan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Sambutan 50 Tahun PKINK di Kelantan Trade Center (KTC) yang dirasmikan oleh Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob hari ini.

Wan Zawawi menjelaskan dalam tempoh 10 tahun, agensi kerajaan negeri itu bakal menjadi 'pemain utama' dalam beberapa bidang khususnya di Malaysia.

Pihaknya kini sedang berbincang bagi mengusahakan tanah seluas 8,000 hektar untuk mengusaha tanaman sawit di Nigeria dengan kepakaran yang ada.

Selain itu, PKINK juga baru sahaja memulakan operasi kilang sawit yang  memberi faedah kepada pengusaha kebun kecil di negeri ini.

"Kerana kita menawarkan harga yang lebih baik hanya perbezaan 10 sen 20 sen dan ia memberi kesan kepada pengusaha.

"Semua ini merupakan kejayaan yang kita kecapi pada hari ini dengan beberapa penambahbaikan yang sentiasa dilakukan agar semua rakyat dapat rasai," katanya. – HARAKAHDAILY 5/11/2016

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails