Wednesday, June 01, 2016

M/Syariah Jadi Bahan Lawak, Khalwat RM250, Bayar RM300, Keep the change!




KOTA BHARU - Pas menegaskan hukuman jenayah syariah yang ditetapkan sekarang tidak mengikut al-Quran dan terlalu rendah hingga menjadi bahan gurauan sahaja. Lapor Sinar Harian hari ini.

Malah Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Mahkamah Syariah kita tidak menjalankan hukum syarak yang sebenar.

"Denda khalwat RM250 orang siap bagi RM300. 'Keep the change!'. Mahkamah kita jadi bahan gurauan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Pemuda Pas ke-57 di sini, hari ini.

Beliau juga mendakwa pihak berkuasa telah menipu rakyat selama lebih 40 tahun gara-gara penghakiman dibuat tanpa mengikut syariat sebenar.

"Contohnya bagi orang Islam minum arak. Hukumannya bukan enam sebatan. Kalau ikut al-Quran atau Hadis Nabi, minima 40 hingga 80 sebatan.
"Jadi, kita berbohong dengan rakyat hampir 40 tahun. Kita nak perbetulkan semula sahaja," katanya.

Tegasnya, pindaan yang dicadangkan pihaknya itu tidak melibatkan sebarang kesalahan baharu.

"Ini hanya melibatkan kesalahan sedia ada dalam perundangan cuma hukuman itu perlu naik supaya hukuman itu setimpal dengan kehendak syarak bagi orang Islam.
"Ia (pindaan) juga mencerminkan wibawa mahkamah," katanya.

Mengulas mengenai orang Islam sendiri yang menentang pindaan Rang Undang-undang (RUU) Persendirian Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) pindaan 2016, Tuan Ibrahim menyifatkan golongan ini tidak memahami isu itu.

"Kita perlu beri kefahaman. Mereka menentang kerana tidak tahu. Jadi, kalau kita menentang perkara yang kita tak tahu, ini antara perkara yang tidak sepatutnya berlakulah.
"Saya baca komentar daripada Muslim dan bukan Muslim, saya penuh yakin mereka tak faham sebenarnya apa yang dibawa," katanya. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails