Sunday, May 29, 2016

Zika: Olimpik Rio de Janeiro Perlu Ditunda Tidak Ber­etika. -Doktor, Saintis, Penyelidik.

... kesihatan menyembur racun serangga di Sambadrome yang akan digunakan untuk pertandingan bagi acara memanah sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil.
SUKAN
MIAMI – Sebanyak 150 orang terdiri daripada doktor antarabangsa, saintis dan penyelidik menggesa supaya Sukan Olimpik yang bakal berlangsung di Rio de Janeiro ditunda atau ditukarkan lokasi ke tempat lain ekoran virus Zika.
Kumpulan itu berpendapat bahawa sukan yang akan diadakan di bandar kedua paling terjejas akibat krisis Zika itu suatu tindakan yang tidak ber­etika dan tidak bertanggungjawab.
“Kebimbangan besar kami adalah mengenai kesihatan global. Virus Zika yang berlaku di Brazil amat membahayakan kesihatan terutamanya dari segi sains kerana fenomena itu tidak pernah berlaku sebelum ini,” menu­rut kumpulan ber­kenaan dalam satu surat terbuka.
Surat itu ditandatangani oleh sekumpulan pakar dari Amerika Syarikat, London, Kanada, Norway, Filipina, Jepun, Afrika Selatan, Turki, Lebanon, Brazil dan beberapa negara lain.
“Satu risiko diambil jika acara tersebut diteruskan kerana hampir 500,000 pelancong asing daripada seluruh dunia bakal tiba di Brazil sekali gus mereka berpotensi dijangkiti sebelum pulang ke negara masing-masing dan menjadi punca penularan besar-besaran penyakit berkenaan.
“Malah, jika berlaku di kawasan golongan miskin, di tempat yang belum terjejas misalnya Asia Selatan dan Afrika, maka penderitaan akibat penyakit itu menjadi satu isu yang besar,” kata surat tersebut.
Virus Zika boleh menyebabkan kecacatan kelahiran bayi termasuk menghidap sindrom yang dikenali sebagai microcephaly iaitu bayi dilahirkan dengan kepala dan otak yang lebih kecil berbanding bayi normal.
Hampir 1,300 bayi dilahirkan cacat di Brazil ekoran bawaan nyamuk virus Zika menular di negara berkenaan sejak awal tahun lalu.
Sukan Olimpik dan Para­limpik itu bakal diadakan pada 5 Ogos hingga 18 September ini ketika negara itu berhadapan dengan musim sejuk menyebabkan nyamuk kurang aktif dan risiko digigit dilihat lebih rendah.
Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menolak tuntutan kumpulan berkenaan kerana menyifatkan pe­nganjuran acara sukan terbesar dunia itu tidak akan memberi kesan besar kepada penularan virus Zika.
“Berdasarkan penilaian semasa, pembatalan atau penukaran lokasi sukan Olimpik tidak memberi kesan kepada penularan virus itu,” kata jurucakap WHO. – AFP

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails