Tuesday, June 02, 2015

Serangan Berani Mati IS Guna Kereta Perisai Pula. 37 Maut.

REUTERS - SEBUAH kereta kebal tentera Iraq bergerak dari Tasik Tharthar menuju ke Ramadi bagi memerangi IS pada 27 Mei lalu.
 
BAGHDAD – Satu serangan berani mati menggunakan sebuah kenderaan perisai sarat dengan bahan letupan ke atas sebuah pangkalan polis Iraq di barat daya Baghad meragut sekurang-kurangnya 37 nyawa semalam, kata beberapa pegawai.

Mereka memberitahu, serangan itu disasarkan ke atas sebuah pangkalan polis persekutuan Iraq di antara Samarra dan Teluk Tharthar. Seorang doktor berkata, sekurang-kurangnya 37 mayat telah dibawa ke Hospital Samarra.
“Kebanyakan mereka ialah anggota polis,” katanya.
Menurut doktor berkenaan, sekurang-kurangnya 33 orang turut cedera dalam serangan itu dengan beberapa anggota polis menyatakan, serangan dilancarkan dengan menggunakan sebuah kereta kebal.
Kawasan itu digunakan dalam satu operasi tentera bertujuan untuk menyekat laluan bekalan kepada kumpulan militan Islamic State (IS) di wilayah Anbar, barat Iraq. IS sejak setahun lalu merampas banyak kenderaan tentera, senjata dan peluru daripada pasukan keselamatan Iraq yang berundur.
“Serangan itu dilancarkan menggunakan sebuah kereta kebal dengan lebih 70 orang terbunuh dan cedera,” kata seorang pegawai kanan polis untuk wilayah Salaheddin. Sejak beberapa hari lalu, pasukan keselamatan Iraq berjaya mematahkan beberapa serangan berani mati melibatkan kenderaan berisi bahan letupan dengan bantuan roket pemusnah kereta kebal.– AFP

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails