Tuesday, September 23, 2014

Isu Royalti Isyarat Kemenangan Awal

 
TUMPAT: Pertubuhan R Kelantan menyifatkan sifat gelabah Umno terhadap isu tuntutan royalti sebagai suatu kemenangan awal pengundi di Pengkalan Kubor dan seluruh rakyat Kelantan.

Presidennya, Nazri Deraman berkata, isu royalti yang digerakkan Pertubuhan R ternyata mendapat perhatian pemimpin utama negara.

“Kami bersyukur dan amat berterima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri kerana menjadikan isu tuntutan royalti sebagai tumpuan kempen di Pengkalan Kubor.
“Pertubuhan R Kelantan memandang serius kenyataan Tan Sri Muhyidin Yassin menuduh NGO R membawa berita palsu dan fitnah,” katanya di sini.

Baru-baru ini Muhyiddin mencabar PAS menyiasat sendiri kewajaran Kelantan mendapat royalti minyak RM12 bilion.

Malah BN juga menaikkan iklan gergasi di beberapa tempat di kawasan pilihan raya Pengkalan Kubor dengan menyebut RM12 bilion fitnah besar PAS.

Nazri berkata, tuntutan royalti berdasarkan Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan perjanjian dan surat cara yang ditandatangani Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah dan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohamad Nasir pada 9 Mei 1975.

Mengikut perjanjian tersebut, tiap-tiap negeri akan menerima 5 peratus daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperoleh dalam kawasan perairan dan luar perairan negeri tersebut.

Kata Nazri perjanjian terbabit jelas menyebut kawasan perairan dan luar perairan tanpa mengehadkan kepada jarak tiga batu nautika.

Menurutnya asas jumlah tunggakan dianggar RM12 bilion berdasar pengiraan dibuat agensi kerajaan negeri yang mempunyai autoriti dan Laporan KDNK mengikut negeri dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri pada 16 Mac 2009.

“Jumlah RM12 bilion adalah kiraan anggaran sehingga akhir 2012, kini kami yakin jumlahnya mencecah melebihi RM13 bilion,” katanya.

Kata beliau juga menurut maklumat yang diterima sehingga 2013 terdapat lima blok medan Petroleum dan 44 telaga minyak di kawasan perairan Kelantan ditemui. – HARAKAHDAILY 22/9/2014

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails