Tuesday, September 23, 2014

Hari-hari Terakhir Kempen, Jauhi Provokasi -Datuk Tuan Ibrahim


TUMPAT: Menjelang hari-hari terakhir berkempen pada PRK Pengkalan Kubor, para petugas PAS diminta menjauhi mana-mana pihak yang cuba melakukan provokasi.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS menjangkakan menjelang hari mengundi Khamis ini corak berkempen akan bertambah panas.

“Secara keseluruhannya perjalanan kempen di Pengkalan Kubor berjalan secara aman.
“Tetapi dua tiga hari ini terdapat beberapa sepanduk yang cuba mencetus provoksi telah dinaikkan,” katanya pada sidang media di Markas Besar PAS, hari ini.

Hadir sama Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan, Bendahari PAS Kelantan, Datuk Hanifa Ahmad, Timbalan Pengarah Operasi PRK Pengkalan Kubor, Mohd Zaki Ibrahim dan Timbalan Presiden Pertubuhan R Kelantan, Abdul Shakur Sharrie.

Sehari dua ini BN Kelantan dikesan menaikkan sepanduk dan mengedarkan risalah berunsur provokasi antaranya memetik ucapan Adun Salor, Datuk Husam Musa pada persidangan Dun mengenai pembalakan di Hutan Hulu Sat.

Selain itu risalah Datuk Dr Haron Din kecewa keputusan Majlis Syura Ulamak diperlekeh golongan pro Anwar. Oleh itu Tuan Ibrahim berharap Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan Pemantau Pilihanraya untuk menurunkan sepanduk bersifat provokasi.

Beliau juga berharap majikan memberi cuti kepada pekerjanya keluar mengundi sebagaimana diumumkan kerajaan Kelantan minggu lepas. - HARAKAHDAILY 22/9/2014

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails