Sunday, May 31, 2020

2 perkara ini, K'jaan Akan Berubah Lagi? -Dato' Mustafa Ali



SAYA merasa terpanggil untuk membuat sedikit pencerahan mengenai situasi politik sekarang kerana terlalu banyak desas-desus spekulasi dan dakwaan yang ditularkan ke tengah masyarakat sehingga rakyat menjadi keliru.

Pertanyaan-pertanyaan seperti: Betul ke pembangkang sudah mempunyai majoriti dalam Parlimen berdasarkan SD terkini? SD ialah Statutory Declaration atau Sumpah Berkanun… dan pembangkang sedang menunggu perkenan Agong untuk menyembahkan SD tersebut.

Pencerahan pertama
, berdasarkan suasana peraturan, undang-undang dan Perlembagaan adalah tidak mungkin akan berlaku perubahan Kerajaan seperti yang berlaku baru-baru ini. Apa yang berlaku baru-baru ini ialah Agong telah menggunakan kuasanya yang diperuntukkan oleh Perlembagaan dan budi bicaranya melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) sebagai Perdana Menteri (PM) dalam keadaan negara tidak ada Kerajaan setelah Tun Mahathir meletakkan jawatan.
Sekarang kerajaan sudah wujud dengan dipimpin oleh TSMY dan telah dibuktikan mempunyai majoriti dalam sidang Parlimen 18 Mei yang lalu. Desas-desus dan spekulasi yang berlaku sekarang adalah semata-mata psy-war atau perang saraf yang dilakukan oleh pihak yang berkepentingan.
Kedua, petunjuk atau indikator paling awal mengenai kedudukan Kerajaan ialah sidang Parlimen bulan Julai yang akan datang. Bila Parlimen bersidang setiap MP mesti menyatakan dengan jelas kepada urusetia Parlimen pendiriannya sama ada bersama Kerajaan atau pembangkang. 
Susunan tempat duduk (seating arrangement) dalam Parlimen akan menunjukkan dengan jelas berapa ramai penyokong Kerajaan dan berapa ramai pembangkang. Inilah petanda paling awal. Secara tegas sebelum sidang Parlimen bulan Julai tidak akan berlaku perubahan kerajaan.
Apa yang boleh dilakukan oleh pembangkang ialah mengusulkan Undi Tidak Percaya kepada Kerajaan di dalam Parlimen. Di sinilah pertarungan sebenar dalam menentukan kedudukan kerajaan sama ada Kerajaan yang ada ini akan kekal atau tidak, tidak sebelum itu. Usul Undi Tidak Percaya ini ada proses dan prosedurnya yang tersendiri dalam Parlimen.
Speaker mempunyai peranan penting di sini sama ada menerima atau tidak Usul ini untuk dibahaskan, bila akan dibahaskan. Sekalipun diterima untuk dibahaskan ia tidak boleh mendahului urusan kerajaan. Maknanya urusan atau agenda yang dibawa oleh kerajaan mestilah diselesaikan lebih dulu dalam masa sidang Dewan yang ditetapkan.
Inilah senario yang ada di hadapan kita. Sekali lagi kita kena menunggu untuk melihat episod seterusnya. Semoga sedikit pencerahan yang diberi dapat membantu saudara semua memahami pergolakan politik negara.
Salam hormat.
DATO’ MUSTAFA ALI – HARAKAHDAILY 31/5/2020

2 comments:

Anonymous said...

Lapan hari tiada kes kematian, Malaysia optimis dapat putuskan rantaian Covid-19
Wartawan SuaraMerdeka

malaysia

MALAYSIA optimis dapat memutuskan rantaian jangkitan wabak COVID-19 dalam sedikit masa lagi susulan hasil keupayaan tinggi dalam mengesan penularan wabak tersebut serta tindakan program kesihatan yang mantap.

NOOR HISHAM
DR. NOOR HISHAM
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, berkata keupayaan pengesanan COVID-19 Malaysia kini berada pada kadar hampir 30,000 ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) sehari.

“Selain itu, Malaysia mempunyai 200,000 antigen rapid test kit dan hanya kurang 5,000 digunakan setakat ini,” katanya pada sidang media harian COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai faktor yang menyumbang kepada tiada kes kematian direkodkan dalam tempoh lapan hari berturut-turut sejak 23 Mei lalu.

Setakat hari ini, kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal pada 115 kes iaitu pada kadar 1.4 peratus berbanding keseluruhan 7,762 kes.

Beliau berkata pada masa ini, hampir 95 peratus ujian COVID-19 dijalankan adalah negatif.

Selain itu, katanya, penggunaan katil COVID-19 di hospital sudah kurang iaitu pada kadar 15 peratus.

“Sekarang hanya sembilan pesakit COVID-19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital dengan hanya dua memerlukan bantuan pernafasan.

“Ini berbanding pada satu masa angka itu pernah mencecah lebih 100 pesakit,” tambah beliau.

Menurutnya, berdasarkan trend terkini beliau optimis Malaysia dapat memutuskan rantaian penularan wabak itu dalam sedikit masa lagi.

“ Apa yang penting ialah pelaksanaan enam strategi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu pemantauan, keupayaan di hospital dan kawalan sempadan.

“Tiga lagi strategi ialah melindungi warga emas, pastikan rakyat Malaysia patuh prosedur operasi standard dan pemerkasaan komuniti, katanya.

Pada sidang media berkenaan, Dr Noor Hisham, turut merakamkan penghargaan kepada warga kesihatan awam KKM yang melaksanakan tugas mereka dengan baik. – BERNAMA

Anonymous said...

Percayalah masih ada ramai lagi ahli politik yg tidak rasuah. Masih ramai lagi ahli politik yg beriman. Luaskan skop pemerhatian. Jangan terhad hanya kepada ahli politik yg rasuah dan hanya berpolitik untuk kepentingan diri sendiri. Masih ada yg berpolitik mengikut syariat seperti zaman sahabat.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails