Sunday, May 31, 2020

Tiada niat nak menunjuk-nunjuk - Chong Wei. T/Kasih!

Datuk Lee Chong Wei menghulurkan sumbangan kepada Masjid Al-Hidayah Kampung Sungai Penchala, semalam. - Foto ihsan JAWIKL
Datuk Lee Chong Wei menghulurkan sumbangan kepada Masjid Al-Hidayah Kampung Sungai Penchala, semalam. - Foto ihsan JAWIKL


KUALA LUMPUR: Tiada niat menunjuk-nunjuk dan apa yang disumbangkan ikon badminton negara, Datuk Lee Chong Wei adalah lebih kepada usaha bantu membantu atas nama kemanusiaan apatah lagi Malaysia sedang berdepan isu pandemik COVID-19.
Mengulas mengenainya, Chong Wei berkata, niatnya ingin membantu pihak terbabit walaupun berbeza agama dan budaya itu timbul selepas bertanyakan kepada rakan Melayu mengenai bantuan yang boleh disalurkan sebelum turut mendapat galakan.

"Tiada niat apa-apa, memang saya ingin menyumbang," katanya yang sama sekali tidak menyangka hantaran di media sosial mengenai sumbangannya kepada Masjid Al-Hidayah Kampung Sungai Penchala (MAHSP) di sini tular.
"Tiada niat untuk sebarkan apa yang saya bantu. Sebab itu saya tidak tulis di media sosial apa yang lakukan. Saya sendiri terkejut apabila ramai yang menghubungi bertanyakan hal berkenaan selepas melihat gambar saya memberi sumbangan kepada masjid.
"Saya tidak menyangka perkara itu akan tersebar," kata bekas jaguh perseorangan negara itu walaupun hantaran yang dimuatnaik MAHSP itu rata-ratanya menerima komen positif daripada netizen.
Semalam, tular di media sosial apabila MAHSP memuat naik gambar Chong Wei menghulurkan sumbangan berbentuk wang tunai dan kelengkapan kepada masjid berkenaan sebelum hantaran itu dikongsi akaun Facebook rasmi Jabatan Agama Islam Wialyah Persekutuan.
Pemenang pingat perak di tiga temasya Sukan Olimpik - Beijing (2008), London (2012) dan Rio (2016) - itu turut berkata, beliau akan meneruskan usaha dilakukan bagi membantu golongan memerlukan.(BH)
Komen Weblog Ibnu HasyimTerima kasih atas usaha berkenaan! Semalam perkongsian itu dimuat naik di akaun Facebook rasmi masjid berkenaan yang turut disertakan tiga gambar Chong Wei menghulurkan sumbangan kepada wakil masjid.
"Terima kasih Datuk Lee Chong Wei atas sumbangan wang tunai dan kelengkapan Masjid Al-Hidayah Kampung Sungai Penchala di kala suasana PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ini.
"Terima kasih juga kepada Ustaz Khairul Anam, Pentadbiran Masjid Saidina Umar Al-Khattab dan warga kariah Bukit Damansara menjadi penghubung kepada MAHSP.
"Semoga kebaikan yang sebenar-benarnya kebaikan milik kita bersama selama-lamanya. Amin," tulis status di Facebook MAHSP. 
Status itu turut dikongsi di akaun Facebook rasmi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

1 comment:

Anonymous said...

Semoga Allah memberikan hidayah kepada Lee Chong Wei dan orang-orang sepertinya. Amin.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails