Tuesday, December 23, 2014

Mangsa Banjir di K'tan, T'ganu, Pahang Meningkat Terus.


KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Kelantan, Terengganu dan Pahang bertambah buruk dengan jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat pagi ini berbanding malam tadi.
  
Di KELANTAN jumlah mangsa di lapan jajahan meningkat daripada 16,081 mangsa malam tadi kepada 20,468 orang pagi ini dengan jumlah pusat pemindahan bertambah daripada 60 buah kepada 70 buah, menurut portal banjir kerajaan negeri.
  
Peningkatan mangsa banjir adalah berikutan hujan lebat yang berterusan semalam di jajahan Gua Musang yang menyebabkan paras air sungai meningkat dan membanjiri termasuk di bandar Gua Musang.
  
Di Gua Musang, jumlah mangsa semakin meningkat iaitu 3,692 orang berbanding 179 orang malam tadi yang kesemuanya ditempatkan di 10 buah pusat pemindahan.
  
Di Jajahan Pasir Mas, jumlah mangsa sedikit menurun iaitu seramai 10,565 orang berbanding 10,575 orang malam tadi yang kini ditempatkan di 31 buah pusat, dan di Tumpat, jumlah mangsa terus kekal 3,956 orang yang ditempatkan di tujuh pusat pemindahan.
  
Jumlah mangsa yang dipindahkan di Kuala Krai meningkat kepada 1,328 orang berbanding 495 orang yang ditempatkan di 14 pusat, di Pasir Puteh (556 orang/empat pusat pemindahan), Tanah Merah (141 orang/dua pusat pemindahan), Machang (19 orang/satu pusat pemindahan) dan Jeli, (211/satu pusat pemindahan).
  
Bacaan paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang masih pada paras bahaya, empat bacaan di tiga sungai utama lain kembali meningkat melepasi paras bahaya.
  
Sungai Galas di Dabong, Gua Musang kini pada bacaan 41.59 meter melepasi paras bahaya 38 meter, Sungai Lebir di Tualang, Kuala Krai 39.83 meter (bahaya 35 meter), Sungai Kelantan di Tangga Krai, Kuala Krai 28.83 meter (bahaya 25 meter) dan Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Tanah Merah 17.71 meter (bahaya 16.00 meter).
  
Sungai Golok di Rantau Panjang pada paras 10.35 meter (bahaya 9 meter).   
  
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Azmi Osman berkata penduduk yang tinggal di pesisir pantai diminta berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga berikutan terdapat laporan berlakunya ombak besar.
  
Di TERENGGANU, jumlah mangsa bertambah kepada 6,003 orang berbanding 5,981 orang malam tadi berikutan kawasan rendah dinaiki air laut pasang dan air sungai yang melimpah akibat hujan lebat di hulu sungai.
  
Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, Dungun masih mencatat mangsa tertinggi iaitu 2,174 orang, diikuti Kemaman (1,877), Kuala Terengganu (1,081), Hulu Terengganu (585), Besut (186), Marang (102) dan Setiu (22).
  
Sehingga pukul 9 pagi, 63 pusat pemindahan beroperasi iaitu Besut (4), Dungun (17), Hulu Terengganu (10), Kemaman (22), Kuala Terengganu (6) sementara Maran dan Setiu (masing-masing 2).
Di PAHANG, mangsa bertambah kepada 2,386 orang daripada 560 keluarga di lima daerah termasuk empat daerah yang baharu terjejas.
  
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata selain Kuantan yang dilanda banjir sebelum ini, empat daerah lain yang mula menempatkan mangsa banjir ialah Pekan, Maran, Jerantut dan Lipis.
  
Daerah Kuantan masih menempatkan mangsa paling banyak iaitu 1,421 orang daripada 357 keluarga di 19 pusat pemindahan.
  
Maran melibatkan 594 orang daripada 121 keluarga yang ditempatkan di enam pusat pemindahan, Lipis (325 oarang daripada 71 keluarga di tiga pusat pemindahan), Pekan (25 orang daripada lima keluarga di dua pusat pemindahan) dan Jerantut (21 orang daripada enam keluarga di satu pusat pemindahan).
  
Sementara itu enam laluan utama di tiga daerah ditutup kepada semua kenderaan iaitu di Kuantan melibatkan Jalan Kuantan-Sungai Lembing (dekat Jambatan Sungai Riau), Jalan Kuantan-Sungai Lembing (Simpang Tiga Panching), di Lipis, Jalan Lipis-Gua Musang dan Jalan Lipis-Merapoh sementara di Maran melibatkan Jalan Benta-Jerantut dan Jalan Utama Bandar Maran. - BERNAMA

Lihat..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails