Friday, December 26, 2014

DAP Lancar Tabung Bencana Banjir, Permulaan RM10,000.





KUALA LUMPUR: DAP melancarkan Tabung Bencana Banjir untuk membantu mangsa-mangsa banjir di Pantai Timur dan negeri-negeri yang terjejas.

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke berkata, ia sebagai tanda solidariti bersama ratusan ribu mangsa banjir di Pantai Timur dan negeri-negeri yang terjejas.

Katanya, tabung itu untuk mengutip derma daripada rakyat Malaysia untuk disalurkan kepada kawasan-kawasan yang terjejas teruk akibat daripada bencana banjir tahun ini yang merupakan antara yang paling serius dalam sejarah negara.

Sebagai permulaan, ujarnya DAP Pusat telah memutuskan untuk memperuntukkan RM10,000  untuk tabung tersebut.

"Semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri DAP di seluruh negara telah diarahkan untuk melancarkan kutipan derma daripada orang ramai di kawasan masing-masing pada hujung minggu ini juga," ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, semua wang yang dikutip melalui tabung itu akan disalurkan kepada kawasan-kawasan yang paling teruk terjejas mengikut keperluan.

Selain itu, ujar beliau sebuah trak dengan muatan satu kontena air mineral dan roti akan dikerahkan ke Gua Musang dan Kuala Krai pada hari Isnin, 29 Disember untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa di kawasan tersebut.

"Saya sendiri akan mengetuai misi tersebut ke Kelantan," katanya.

Beliau menambah, usaha berterusan sedang dijalankan untuk mendapatkan lebih banyak kontena untuk dikerahkan ke kawasan-kawasan yang serius terutamanya di negeri Kelantan. - HARAKAHDAILY 26/12/2014

 Lihat..


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails