Friday, December 26, 2014

Banjir: PAS Wujudkan Bilik Bantuan Bencana

KUALA LUMPUR: PAS telah mewujudkan Bilik Penyelarasan Maklumat dan Bantuan Bencana PAS Pusat di Pejabat Agung PAS di sini ekoran banjir yang melanda seluruh negara.

Pengerusi Pengurusan Kecemasan Bencana Malaysia (MEDM), Salahuddin Ayub berkata, ia beroperasi 24 jam bermula hari ini bagi menyelaraskan bantuan dan maklumat berkaitan  banjir.

"Bilik gerakan itu diwujudkan selepas melihat perkembangan banjir menjadi semakin kritikal yang bukan sahaja berlaku di negeri-negeri Pantai Timur tetapi turut melanda negeri-negeri utara," pada sidang media di Pejabat Agung PAS, petang tadi. Turut sama ialah Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali

Katanya, Bilik Penyelarasan Maklumat dan Bantuan Bencana PAS Pusat itu akan diketuai Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil dan dibantu AJK Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al Jundi serta beberapa petugas.

Menurutnya, selain makanan, pihak MEDM juga mengalu-alukan sumbangan segera berupa selimut tebal, lampin pakai buang dan tuala wanita.

"Begitu mangsa-mangsa banjir tentunya amat memerlukan sumbangan beg sekolah dan pakaian seragam sekolah bagi sesi persekolahan yang akan dibuka tidak lama lagi," ujarnya yang juga Naib Presiden PAS.

Menyentuh mengenai sumbangan lain yang dilakukan MEDM, Salahuddin menjelaskan, sejak berlakunya banjir tahap pertama, MEDM juga telah menubuhkan Team Radio Amatur yang bertugas bagi memastikan komunikasi semasa berlaku banjir atau mana-mana bencana alam dapat diaktifkan sebaik mungkin.

"Komunikasi semasa bencana amat penting. Berdasarkan pengalaman banjir di Kemaman serta banjir teruk yang melanda Gua Musang dan Kuala Krai, terputusnya bekalan elektrik dan terganggu sistem komunikasi khususnya perhubungan telefon.

"Maka dengan adanya team ini, adalah amat penting bagi membuat pemantauan terutama bagi mereka yang terputus hubungan komunikasi. Pasukan ini amat efektif dan di bawah MEDM, kami berjaya menaik taraf peralatan termasuk membekalkan repeater radio amatur  supaya dapat berkomunikasi dengan efektif terutama pada waktu yang diperlukan," katanya.

Katanya, walaupun repeater radio amatur masih tidak dapat memberi liputan menyeluruh di seluruh negara, Pasukan Radio Amatur tetap memastikan komunikasi khususnya di kawasan banjir di Pantai Timur dapat dilaksanakan dengan baik.

Selain itu katanya, MEDM juga telah menubuhkan Pasukan Perubatan yang bertungkus lumus untuk memberikan apa sahaja bantuan perubatan bagi memastikan mangsa banjir dapat diberikan rawatan dan kaunseling yang sewajarnya.

Menurut Salahuddin lagi, MEDM juga memfokuskan kepada keperluan rakyat yang sangat mendesak terutama bekalan makanan dengan menubuhkan Dapur Rakyat.

Katanya, pihak MEDM telah  membeli kemudahan peralatan memasak untuk Dapur Rakyat dan akan digunakan bagi memasak di kawasan   yang tidak dinaiki air.

Seterusnya katanya,  pembungkusan makanan akan dilakukan di Dapur Rakyat dan akan dihantar kepada mangsa-mangsa banjir.

Katanya, dengan peruntukan yang dikeluarkan kerajaan Kelantan bagi melaksanakan Dapur Rakyat, pihak MEDM mensasarkan dapat mewujudkan 40 Dapur Rakyat bukan sahaja di Kelantan tetapi juga di Terengganu dan Pahang.
Katanya, orang ramai yang ingin memberikan sumbangan wang tunai boleh menyerahkan terus kepada petugas di bilik gerakan atau menyalurkan kepada akaun Tabung Bencana Harakah menerusi akaun Maybank 564070130442 atau menghubungi pihak penyelarasan bilik gerakan berkenaan.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat mengenai banjir serta menghulurkan bantuan boleh menghubungi Bilik Penyelarasan Maklumat Bencana MEDM di talian 03-26982000 (Syed Ahmad Fadhli) atau menghubungi careline Salahuddin Ayub-013 7278292, Khairul Faizi-013 2565530, Aiman Athirah-019 3438237.

Organisasi BPM Bencana MEDM terdiri daripada beliau selaku pengerusi, Timbalan Pengerusi I, Dr Dzulkefly Ahmad (017-6286 804), Timbalan Pengerusi II, Mejar Abdul Rashid Hassan Basri (012-2871 614), Ketua Bilik Gerakan, Khairul Faizi Ahmad Kamil, Timbalan Ketua Bilik Gerakan, Aiman Athirah, Setiausaha, Syed Ahmad Fadhli (013-2699 092), Penolong Setiausaha Amina (SUK DMPM), Unit Meteorologi ialah Khadijah, Raihana dan Sofea, Unit Keselamatan Noor Afizah Basarudin (Briged - 014-2295 449), Juhari Usman (Jabatan Amal - 019-7116 300) dan Unit Logistik, Haji Jamuliddin Elias (019-6644 796). - HARAKAHDAILY 26/12/2014

 Lihat..


1 comment:

XUMNO said...

Harap Pas negeri menubuhkan pusat2 sumbangan dari orang ramai berupa pakaian dan makanan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails