Wednesday, June 04, 2014

Sokong Pengganas Di Facebook, Suri Rumah 'Tak Bersalah'.



Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap dua pertuduhan memberi sokongan kepada perbuatan pengganas melalui laman sosial April lalu. Azizah Md Yusof, 54, yang memakai jubah hitam dan bertudung corak coklat, mengangguk faham dan minta dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di depan Hakim Kamardin Hashim.

Pada 23 Mei lepas, Azizah dihadapkan ke Mahkamah Majistret berhubung pertuduhan sama, bagaimanapun tiada pengakuan direkod daripada tertuduh yang diwakili peguam KC Suzalena Salleh kerana kes itu merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Dia didakwa melakukan perbuatan itu di laman sosial Facebook 'Wan Jah' di Bahagian E8, Cawangan Khas, Tingkat 24, Menara 2, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada kira-kira 2 petang 24 April lepas.

Bagi pertuduhan kedua, ibu kepada lima anak itu didakwa melakukan kesalahan serupa melalui akaun Facebook 'Azizah Yusof' di tempat, tarikh dan waktu sama. Azizah didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup, atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang diguna atau diniatkan untuk digunakan bagi melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Kamardin membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad agar kes Muhammad Armie Fatihah Mohd Hashim dan Mohammad Hafiz Zahri Suparyatnoh, yang didakwa di Mahkamah Majistret Taiping, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana membabitkan kesalahan sama.

Mahkamah menetapkan 20 Jun ini untuk sebutan semula kes bagi membolehkan kesemua tertuduh dibawa ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Muhamad Iskandar juga memaklumkan mahkamah bahawa pada tarikh itu, pihaknya akan memohon agar kesemua kes dibicarakan bersama.

Suzalena pula berkata pembelaan akan mengemukakan beberapa permohonan, antaranya, berhubung jaminan, bantahan agar kesemua kes dibicarakan bersama dan isu perundangan. Azizah, yang kini ditempatkan di Penjara Kajang, tidak dibenarkan ikat jamin kerana ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Sementara itu, di Port Dickson, Mahkamah Majistret memindahkan kes seorang penganggur Mohd Khairil Mi, 27, yang berdepan pertuduhan menggalakkan perbuatan keganasan di Syria, ke Mahkamah Tinggi. Majistret M Mageshwary membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin hari ini.

Khairil didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah inap desa di Taman Intan Perdana, Kuala Lumpur antara pukul 10 malam, 1 November hingga 3 petang 3 November tahun lepas mengikut Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan. Mageshwary menetapkan 20 Jun ini untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. – Bernama, 4 Jun, 2014.

Sebelum ini..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails