Sunday, June 01, 2014

20,000 Tahanan Mogok Lapar Dipenjara Kerana Disiksa


KAHERAH: Sekitar 20,000 tahanan mengadakan mogok lapar bermula Jumaat lalu sebagai menentang pihak berkuasa Mesir yang terus memberi layanan buruk serta menyiksa tahanan di dalam sel penjara.

Seorang aktivis hak asasi Mesir, Haytham Abo Khalil berkata kebanyakan tahanan dilayan secara teruk oleh pentadbiran penjara dan bertindak mengadakan mogok lapar bagi mendapatkan perhatian atas penderitaan mereka.

"Lebih daripada 20,000 tahanan akan memulakan mogok lapar selama seminggu di lebih 114 pusat-pusat tahanan dan penjara," kata beliau seperti dipetik agensi berita Turki, Anadolu.

Satu laporan baru-baru ini oleh Pusat Ekonomi dan Hak Sosial Mesir (ECESR) berkata, terdapat layanan buruk dan sistematik telah dikenakan kepada tahanan di pusat tahanan Mesir.

Walau bagaimanapun, pihak berkuasa Mesir telah berulang kali menafikan laporan penyeksaan digunakan terhadap penyokong Presiden Dr Muhammad Morsi yang digulingkan pihak tentera. - HARAKAHDAILY 1/6/2014

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails