Tuesday, June 03, 2014

Sokong Serbu Majlis Perkahwinan Di Kuil Hindu -Dr Ridhuan.


Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Ridhuan Mohd Nor anggap tindakan Jabatan Agama Islam menyerbu majlis perkahwinan Hindu minggu lalu untuk menyelamatkan akidah umat Islam. Gambar fail The Malaysian Insider. Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Ridhuan Mohd Nor anggap tindakan Jabatan Agama Islam menyerbu majlis perkahwinan Hindu minggu lalu untuk menyelamatkan akidah umat Islam. Gambar fail The Malaysian Insider.


















Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Ridhuan Mohd Nor menyokong tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu kuil Hindu di Petaling Jaya hujung minggu lalu kerana tindakan berkenaan berjaya menyelamatkan akidah seorang umat Islam.

Beliau berkata, serbuan itu mungkin terpaksa dilakukan selepas mendapat maklumat tepat mengenai keislaman gadis itu bagi "membebaskan" akidah beliau daripada terjerumus ke lembah kemusnahan yang lebih parah di kemudian hari.

"Bagi umat Islam, tindakan Jais amat wajar kerana ia berjaya menyelamatkan akidah umat Islam daripada terkeluar dari garis Islam.
"Menjadi suatu kesalahan bagi umat Islam berkahwin dengan penganut agama lain tanpa pasangan bukan Islam itu memeluk agama Islam," kata Ridhuan dalam satu kenyataan hari ini.

Ridhuan berkata, Islam juga tidak membenarkan umatnya menukar agama kepada agama lain kerana ia adalah murtad dan kesalahan paling besar dalam Islam adalah keluar daripada agamanya sendiri.
"Ia jelas difahami oleh penganut mazhab Ahli sunnah Wal Jamaah di negara ini," katanya.

Hujung minggu lalu, Jais menyerbu satu majlis perkahwinan yang dijalankan mengikut upacara Hindu di kuil di Petaling Jaya selepas menerima aduan mengenai pengantin perempuan yang dipercayai beragama Islam. Tindakan berkenaan mengundang pandangan pelbagai pihak dengan ada yang mengecam, mengutuk tindakan Jais sebagai tidak menghormati hak dan pegangan penganut agama lain.

Malah, terdapat juga pihak yang marah kerana Jais mengganggu majlis perkahwinan dan budaya masyarakat dan agama Hindu.

"Tindakan gadis terbabit berkahwin di kuil dengan mengikut segala amalan dan ajaran Hindu dikhuatiri akan menjejaskan akidahnya serta melanggar syariat Islam.
"Perkahwinannya di sisi Islam tidak sah dan akan menyebabkan zuriat yang diperolehi juga tidak sah taraf," kata Ridhuan dan menambah, kes seperti ini menjadi pengajaran betapa seriusnya masalah akidah dan akhlak dalam masyarakat.

Beliau berkata, tindakan wanita itu adalah jahil kerana sanggup mengetepikan agama semata-mata mahu bersama "cinta sejati" pasangannya.

"Kejahilan adalah faktor utama mengapa wanita itu sanggup mengenepikan ajaran agamanya demi meraih ‘cinta sejati’ bersama pasangannya.
"Akidah umat boleh dijual beli hanya untuk kelangsungan perkahwinan dan percintaan. Seolah-olah akidah dan syahadah adalah perkara remeh yang boleh disampingkan kerana keperluan dan tuntutan hidup," katanya. – 3 Jun, 2014. (TMI)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails