Friday, April 04, 2014

Penculikan Di Semporna Najib Kata Sabotaj? Polis Tuduh Abu Sayyaf..



















Penculikan di Sabah: Pembangkang kata rosakkan imej, Najib kata sabotaj hubungan Malaysia-China
Ahli Parlimen Pakatan Rakyat mempertikaikan pihak berkuasa apabila berlakunya penculikan di Semporna, Sabah malam tadi, manakala Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yakin penculikan itu sengaja dilakukan bertujuan untuk mensabotaj hubungan antara Malaysia dengan China yang sudah luka ekoran kehilangan MH370.

Melalui laman Twitternya, Bernama melaporkan, "kerajaan tidak menolak kemungkinan penculikan di Semporna dibuat oleh sesetengah pihak untuk mengerohkan hubungan antara Malaysia dengan China - PM Najib".

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (gambar) berkata, adalah satu yang mengejutkan apabila kumpulan bersenjata itu berjaya menculik mangsanya di sebuah resort di Sabah. Bagi Lim, kejadian ini sudah pasti merosakkan imej negara.

Sementara itu, sumber polis berkata, kumpulan bersenjata Abu Sayyaf dipercayai bertanggungjawab dalam insiden penculikan dua wanita di sebuah resort di Semporna dan pihak berkuasa Filipina dan Malaysia ketika ini sedang memburu mereka.

Sumber memberitahu The Malaysian Insider, siasatan awal mendapati insiden penculikan semalam dilakukan oleh kumpulan Abu Sayyaf.

"Abu Sayyaf aktif dikawasan tersebut sejak 15 tahun lalu dan terlibat dalam banyak penculikan," kata pegawai senior polis yang dirahsiakan identiti.
"Dalam kebanyakan kes, mangsa selalunya dibebaskan selepas wang tebusan dibayar. Kes semalam mungkin sama."

Beliau mendedahkan dalam insiden sebelum ini, warga Taiwan, Chang An Wei, 58, yang diculik Abu Sayyaf dibebaskan sebaik wang tebusan dibayar.

"Kumpulan ini tahu selok-belok perairan Filipina dan mahir dalam jalan air sekitar kawasan ini," katanya.

Dalam pada itu, The Star melaporkan pihak berkuasa Malaysia sedang mengawal ketat sempadan perairan merentasi selatan Filipina bagi menjejak penceroboh semalam. Menurut laporan, mangsa terbaru penculikan ini adalah dikenali sebagai Gao Hua Yun, 29, dari Shanghai, China. Seorang lagi adalah pekerja Filipina, Marcy Dayawan @ Mimi.  Mereka dibawa lari dari Singamata Reef Resort.

Kejadian terbaru ini selepas insiden seumpama berlaku tahun lalu: dua kes membabitkan nelayan di atas bot mereka pada April dan pada November pula, pelancong Taiwan diculik dari Pulau Pom-Pom.
November lalu, Li Min Hsu, 57, dari Taiwan terbunuh apabila kumpulan bersenjata merempuh sebuah resort di Pulau Pom-Pom.

 
Mereka ini dituduh kumpulan penjenayah Abu Sayyaf..

Mereka turut menangkap Chang dan membawanya lari dari pulau itu dengan bot.
Chang kemudian dibebaskan oleh pihak berkuasa Filipina Disember lalu dengan berita angin menyatakan selepas sejumlah pampasan dibayar. Kejadian malam tadi bakal meletakkan Zon Keselamatan Timur Laut Sabah (Esscom) dalam perhatian. Ia meliputi kawasan seluas 1,400 km di pantai timur Sabah dari Kudat ke Tawau.

Ia diwujudkan Mac tahun lalu oleh Najib selepas pencerobohan Lahad Datu oleh militan Sulu sebulan sebelum itu. Tujuannya adalah untuk memperteguhkan keselamatan maritim di bahagian timur laut Sabah dan mengelakkan ancaman pengganas di perairan Sabah. – 3 April, 2014 (TMI)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails