Saturday, April 05, 2014

Makan Malam 'Rahmat Untuk Semua' -Dr Mujahid & Father Sebastian

 
Dari kiri, Dr Mujahid dan Father Sebastian pada majlis makan malam kedamaian.

GEORGETOWN: Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) PAS Pulau Pinang telah menganjurkan makan malam kedamaian dalam usaha mempromosikan konsep "Rahmat Untuk Semua" yang disarankan Presiden PAS.

Majlis yang dikendalikan secara bersama oleh LPN dan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Pulau Pinang itu dihadiri Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Mujahid Yusof dan Uskop Roman Katholik Pulau Pinang, Father Sebastian Michael.

Hadir sama para pemuka masyarakat setempat dari pelbagai kaum dan agama.
Ketika berucap Father Sebastian menjelaskan keperluan keadilan untuk mencapai kedamaian dan keperluan bermaafan untuk mencapai kedamaian.

Dr Mujahid yang juga Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional  PAS Pusat menyambut baik saranan Uskop dengan menyatakan komitmen PAS untuk membela hak semua kaum dan agama bagi mencapai keadilan.
PAS, jelas Mujahid komited untuk menjangkau sokongan merentasi semua kaum.

Majlis turut diserikan dengan ucapan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melalui rakaman video yang menegaskan bahawa risalah Islam adalah demi kedamaian untuk semua.
Pengerusi DHPP negeri, Asokan mengulangi komitmennya untuk memperjuangkan slogan "PAS Untuk Semua" dan yakin dengan perjuangan Islam berciri universal yang dibawa PAS.

Beliau menganggap Tuan Guru Mursyidul Am sebagai 'ayah angkat' atas kasih sayang dan prinsip yang ditunjukkan oleh pemimpin tertinggi PAS itu. Majlis berakhir dengan komitmen semua pihak yang hadir untuk memastikan kedamaian adalah milik semua demi keharmonian negara.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi LPN negeri, Yusof Noor menjelaskan tumpuan lajnah pimpinannya kepada 3P iaitu pendidikan, pekerjaan dan perumahan untuk semua. Beliau menjelaskan, pihaknya akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk memastikan program 3P dapat dilaksanakan. (HD)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails