Thursday, April 03, 2014

Akta Pencegahan Jenayah 2013 Masih Mundur - Suhakam




KL: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) merasa kesal dengan Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013, yang telah dirangka tanpa rundingan dengan Suhakam, telah bermula berkuatkuasa semalam (2 April) walaupun terdapat bantahan daripada pelbagai pihak berkepentingan terhadap ketidakpatuhan akta itu dengan prinsip hak asasi manusia.

Pengerusinya, Tan Sri Hasmy Agam berkata, walaupun kerajaan telah mengulangi bahawa elemen hak asasi manusia telah diambilkira dalam menggubal pindaan berkenaan, Suhakam mengulangi kebimbangan ke atas peruntukan yang membenarkan penahanan tanpa bicara dan penafian hak individu untuk perwakilan undang-undang dan kepada perbicaraan yang adil, serta hak dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah dalam perbicaraan terbuka mengikut undang-undang.

Beliau dalam satu kenyataan semalam menambah, walaupun Suhakam menghargai hasrat murni kerajaan dalam memerangi jenayah yang serius dan terancang di negara ini, ia masih bimbang bahawa akta itu masih mundur dalam sifatnya dan tidak konsisten dengan prinsip hak asasi manusia yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia (UDHR).

Katanya, dalam mengalu-alukan jaminan kerajaan bahawa akta itu akan digunakan hanya sebagai pilihan terakhir dan mereka yang ditahan di bawah akta itu akan diberikan kaunseling, Suhakam berpendapat bahawa adalah penting bagi kerajaan untuk menterjemahkan jaminan itu ke dalam peruntukan undang-undang ke arah memastikan pelaksanaan akta yang efektif dan pemulihan bagi tahanan oleh pihak berkuasa yang berkenaan. (HD)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails