Wednesday, April 02, 2014

Jenayah Syariah (Hudud): Juham Sokong Ketetapan K'tan


 




KL: Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Malaysia dengan ini meyokong sepenuhnya ketetapan yang telah dicapai oleh Kerajaan Negeri Kelantan di dalam Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada hari ini iaitu:

1) Membawa rang undang-undang persendirian (private bill) di Parlimen bagi membolehkan Parlimen memberi kebenaran  di bawah peruntukan Perkara 76A Perlembagaan Persekutuan agar Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Negeri Kelantan 1993 dapat dilaksanakan; dan

2) Membawa rang undang-undang persendirian (private bill) bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 untuk memberi bidangkuasa menjatuhkan hukuman yang lebih luas kepada Mahkamah Syariah bagi tujuan perlaksanaan undang-undang jenayah Islam.

Pengarah Juham, Noorazmir Zakaria berkata, bagi memperkemaskan lagi persediaan ke arah perlaksanaan enakmen tersebut dan bagi mengelakkan rang undang-undang yang bakal di bawa itu dari di cabar atas alasan ultra vires perlembagaan dan lain-lain teknikaliti undang-undang, Juham mencadangkan supaya Kerajaan Negeri Kelantan turut memasukkan usul agar Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan berkaitan dengan tafsiran perkataan ‘undang-undang’ turut dipinda.

“Pindaan yang dicadangkan ialah dengan memasukkan undang-undang Islam sebagai salah satu takrifan kepada perkataan ‘undang-undang’ yang terkandung di dalam Perkara 160 (2) tersebut,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, pada masa ini istilah ‘undang’undang’ yang digunakan di dalam Perlembagaan Persekutuan hanyalah meliputi undang-undang bertulis, common law, dan apa-apa adat (custom) atau kelaziman (usage) yang mempunyai kuat kuasa undang-undang di dalam Persekutuan Malaysia atau mana-mana bahagiannya.

“Dengan pindaan ini, maka dengan sendirinya undang-undang Islam akan diiktiraf di dalam Perlembagan sebagai salah satu sumber kepada undang-undang yang dilaksanakan di Malaysia,” ujarnya.

Beliau berkata, Juham juga telah menubuhkan suatu jawatankuasa khas yang dianggotai oleh peguam-peguam yang mahir di dalam undang-undang sivil dan syariah bagi membantu Kerajaan Negeri Kelantan di dalam melaksanakan keputusan yang dicapai oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan sebagaimana di atas. (HD)

Lihat lagi..
E-Buku IH-46: Isu Hudud, K'tan & Nik Abd Aziz
E-Buku IH-46: Isu Hudud, K'tan & Nik Abd Aziz

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails