Thursday, April 03, 2014

Apa Jadi PKR, Selepas Anwar Dipenjara. -Ulasan Zulkifli Noordin,


Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menarik diri daripada pemilihan jawatan presiden PKR dan kemudian menyalahkan Umno kerana menyekatnya menyebarkan demokrasi.




Keghairahan Khalid, Azmin beri ancaman politik kepada Anwar

Keghairahan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali untuk maju dalam arena politik dan keengganan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim merujuk kepada parti dalam hal ehwal pentadbiran negeri merupakan ancaman kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bekas peguam Anwar, Datuk Zulkifli Noordin, berkata dengan senario tersebut, maka tiada siapa lagi yang boleh diharapkan untuk menerajui parti melainkan memberi kuasa kepada isterinya sendiri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Anwar tahu ini bahaya. Kalau Azmin lawan Azizah, kemungkinan besar Azmin menang. Kalau Azmin jadi presiden, adakah dia hendak jaga Anwar dalam penjara dan pastikan kedudukan Anwar terjamin selepas keluar penjara? Tidak mungkin.

“Azizah lemah. Rangkaian Azmin dalam PKR sangat kuat. Saya tengok Anwar tidak pernah lihat Azmin selain budak suruhannya. Dia hendak lihat lebih daripada itu,” katanya ketika ditemubual dalam program Soal Jawab terbitan TV3.

Pemilihan PKR kali ini menyaksikan Azmin mempertahankan jawatannya sebagai timbalan presiden walaupun terdapat ura-ura beliau akan bertanding jawatan presiden namun dicantas Anwar.

Turut sama merebut jawatan nombor dua parti adalah Khalid, Naib Presiden PKR, Chua Tian Chang; Datuk K Ramachandran, Murali Subramaniam dan individu yang dikatakan akan membuat kejutan, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Zulkifli berkata, perjanjian persefahaman (MoU) air yang ditandatangani Khalid bersama kerajaan pusat membuktikan menteri besar Selangor itu cuba membelakangkan Anwar dan ia merupakan perkara yang paling tidak disenangi ketua umum itu.

Katanya, bagi memastikan kelangsungan politik Anwar, maka timbalan presiden PKR sewajarnya bukan Khalid dan Azmin yang dapat memberi ancaman kepada ketua pembangkang itu.

“Daripada segi politik, tindakan Khalid satu tindakan bunuh diri sebab memberi isyarat membelakangkan parti. Khalid hantar isyarat ‘aku adalah ketua’ dan ini pantang besar Anwar.
“Anwar melihat Khalid sebagai ancaman. Isu air membuktikannya. Begitu juga Azmin. Dia kena pastikan orang nombor dua bukan orang yang boleh menggugat Azizah. Saya baca orang yang kita tengok adalah Saifuddin kerana beliau akan dilatih mengambil jawatan timbalan presiden,” katanya.

Menerusi program selama 60 minit itu, Zulkifli yakin Anwar akan menarik diri sebagai calon presiden PKR kerana sabitan mahkamah yang dijatuhkan terhadapnya. Katanya, Seksyen 9 Akta Pertubuhan dengan jelas menerangkan status Anwar kini beliau tidak layak untuk bertanding.

“Saya cukup yakin bila tiba masanya nanti, dia akan tarik diri. Dia akan kata inilah agenda jahat Umno menghalang untuk menyuburkan demokrasi dalam PKR. Kita boleh baca.
“Dia tahu kalau dia bertanding, parti itu akan diharamkan. Dia tahu dia hendak kena penjara maka dia cetuskan isu. Itu cara Anwar hidup. Dia hidup dengan kontroversi,” katanya menerusi wawancara yang dipengerusikan oleh Hamdan Amir.

Penganalisis politik Prof Madya Dr Ismail Sualman yang juga ahli panel dalam wawancara itu berkata,  parti seperti PKR yang bertunjangkan kepada populariti individu tidak mampu bertahan lama.

Katanya, selepas Anwar dipenjarakan, pemimpin PKR yang ada akan melakukan penjenamaan semula parti itu yang menghindari budaya nepotisme.

“Sampai masanya mereka melihat nepotisme yang dimainkan Anwar. Saya fikir akan ada satu gelombang kelompok tertentu yang mahu bangun melihat PKR dalam pakej baru mungkin penjenamaan semula.

“Sama ada daripada Tian Chua atau Saifuddin sendiri. Parti berasaskan personaliti tidak akan bertahan lama dan akan tenggelam seperti parti Semangat 46,” katanya. – 3 April, 2014. (TMI)

Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-83: Setelah Anwar Dihukum Penjara 5 Tahun.
E-Buku IH-83: Setelah Anwar Dihukum Penjara 5 Tahun.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails